Skip to main content

Sukan Lain

Konsep Sukan SEA jadi model penganjuran Sukan Komanwel

stadium-hoki-nasional-020617.jpg
Majlis Olimpik Malaysia (MOM) akan menggunakan konsep yang hampir sama seperti Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 andai diberi peluang untuk menganjurkan Sukan Komanwel 2022 atau 2026. 

Hasrat untuk mengelakkan kos terlampau tinggi menjadi antara sasaran MOM sekiranya Malaysia sekali lagi menganjurkan Sukan Komanwel. 

Antara konsep yang diterapkan bagi Sukan SEA kali ini -- dari 19 hingga 30 Ogos depan -- adalah ketiadaan perkampungan sukan di mana atlet serta pegawai akan menginap di hotel sekitar bandaraya Kuala Lumpur. 

Ia dilihat lebih menjimatkan dan langkah itu selaras dengan visi baru Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) agar tiada lagi pembaziran daripada segi kos. 

"Kami tidak akan melakukan banyak perubahan terhadap pelan dan konsep Sukan Komanwel berbanding Sukan SEA. 

"Kami percaya konsep menginap di hotel lebih efektif," ujar Presiden MOM, Tunku Imran Tuanku Ja'afar. 

Tunku Imran berkata demikian semasa sidang media pada hari terakhir kunjungan delegasi Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) yang diterajui Ketua Pegawai Eksekutifnya, David Grevemberg.

Kunjungan selama tiga hari itu menyaksikan mereka meninjau venue dan kemudahan menjelang Sukan SEA. 

Malaysia adalah negara ketiga yang dilawati selepas England serta Kanada dan selepas ini, mereka akan ke Australia. 

Grevemberg menjelaskan terdapat 10 bandaraya yang berpotensi untuk menganjurkan Sukan Komanwel 2022 dan senarai pendek itu dijangka dapat diketahui pada penghujung tahun ini. 

"Kami berdepan kesuntukan masa untuk mengumumkan tuan rumah bagi Sukan Komanwel 2022. 

"Kami sudah mengenal pasti beberapa bandaraya dan akan mengumumkannya penghujung tahun ini, dan dalam masa sama, kami sedang membangunkan rangkaian bandar Sukan Komanwel," kata Grevemberg.
 

Advertisement

Must Watch Video