Skip to main content

Sukan Lain

KOM utamakan atlet jalani latihan di dalam negara

karim-ibrahim-kom.jpg
Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) lebih mengutamakan atlet yang dalam persiapan ke Sukan Asia Jakarta-Palembang, Ogos depan, untuk menjalani latihan di dalam negara sambil dibantu kepakaran luar.

Hasil perbincangan di antara KOM dan Majlis Sukan Negara (MSN), badan induk itu bersetuju mengambil khidmat jurulatih kelahiran Amerika Syarikat, Dwayne Miller.

Sebelum ini, terdapat cadangan agar atlet negara berlatih di Eropah selain menyertai beberapa pertandingan di sana.

Namun, KOM bersetuju untuk latihan diteruskan di Malaysia dengan Miller diikat menerusi kontrak dua bulan sehingga Sukan Asia.

Menurut Presiden KOM, Datuk Karim Ibrahim, langkah itu lebih sesuai sambil mengambil kira perbelanjaan yang perlu dikeluarkan oleh badan induk itu andai mereka menghantar atlet berlatih di luar negara.

"Kami tawarkan kontrak selama dua bulan kepada Dwayne Miller. Dia perlu memutuskan untuk datang ke Malaysia atau mengadakan kem latihan di Eropah.

"Kalau atlet kita perlu ke Eropah, maka kami terpaksa mengadakan satu lagi perbincangan dengan pihak MSN. Mungkin jadi atau tidak tetapi kalau dia datang, lagi baik. 

"Sambil itu, jurulatih pecut negara, Mohd Poad Md Kassim, juga meminta untuk lebih ramai atlet dihantar ke Eropah. Jadi, mana nak cari bajet?" soal Karim.

Sementara itu, Karim mengesahkan seramai 19 atlet berada dalam senarai awal untuk ke Sukan Asia di Indonesia.

Jumlah itu mungkin berubah berdasarkan kriteria serta had kelayakan yang ditetapkan oleh Majlis Olimpik Malaysia (MOM).
 
KOM dijangka menghantar senarai pendek atletnya kepada MOM pada 6 Jun ini.

"Jika mereka memberikan kelonggaran had kelayakan sehingga tempat keenam, kami akan ambil, begitu juga kalau tempat kelima. 

"Bagaimanapun, kami masih belum ada hitam putih mengenai had kelayakan Sukan Asia," katanya. 
 

Advertisement

Must Watch Video