SUKAN LAIN
Kok Chi: MAKAF, MSN perlu jelas status Syakilla
Pemerhati sukan negara, Datuk Sieh Kok Chi, meminta Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF) dan Majlis Sukan Negara (MSN) menjelaskan status atlet kumite, Syakilla Salni Jefry Krisnan, yang didakwa terpaksa menarik diri daripada Kejohanan K1 di Jepun.
Syakilla tiada dalam undian kumite bawah 55kg wanita K1 di Jepun, sekali gus mengundang persoalan apa yang berlaku kepada bekas juara Sukan Asia itu.
Dia berdepan masalah berat badan sejak tahun lalu hingga terpaksa menarik diri daripada deretan kejohanan, termasuk yang menawarkan mata kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020.
Iklan
Malah, MAKAF dua minggu lalu telah mengesahkan atlet berusia 27 tahun itu berjaya menyelesaikan masalah berat badan dengan menurunkannya kepada 55.8kg selepas berlatih di Phuket, Thailand bersama jurulatihnya, Andris Vasiljevs.
Jadi, MAKAF perlu menerangkan apa yang sebenarnya berlaku kepada Syakilla di Jepun.
"Jika terdapat sesuatu yang berlaku, ia tidak perlu berselindung dan tampil memberikan penjelasan," kata Kok Chi.
"Saya berpandangan prinsip asas sukan amat penting. Ketelusan terhadap perkara yang berlaku amat penting dan jika perkara ini tidak diperjelaskan, ia akan digunakan sebagai alasan oleh atlet pada masa akan datang."
Perlu diingatkan bahawa Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail, pernah mengumumkan K1 Jepun merupakan peluang terakhir untuk Syakilla mewakili negara.
Skuad negara menamatkan cabaran di Jepun tanpa sebarang pingat dan dijadualkan pulang ke tanah air, esok.
Must-Watch Video