SUKAN LAIN
Khairulnizam, Nurul Alyani dinobat Olahragawan, Olahragawati UiTM
Kecemerlangan atlet pelayaran negara, Khairulnizam Mohd Afendy, layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 memberi laluan mudah untuknya dinobatkan olahragawan buat kali keempat manakala pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 menjulang Nurul Alyani Jamil sebagai olahragawati dalam Majlis Anugerah Sukan Universiti Teknologi MARA (UiTM) 2018 di Shah Alam, sebentar tadi.
Khairulnizam muncul atlet Malaysia pertama yang mengesahkan tempat dalam Sukan Olimpik 2020 selepas muncul finalis acara laser standard Sukan Asia 2018.
"Alhamdulillah saya dapat merangkul Anugerah Olahragawan buat kali keempat.
Iklan
"Saya amat berterima kasih kepada UiTM kerana sentiasa memberi sokongan kepada saya dalam bidang pelayaran dan sukan.
"Anugerah ini menaikkan lagi semangat saya untuk menempuhi kejohanan tahun ini dan mencapai sasaran dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020.
"Saya harap kecemerlangan ini dapat diteruskan," kata Khairulnizam.
Dalam masa sama, Nurul Alyani yang menghadiahkan kuartet boling padang wanita negara emas Sukan SEA 2017 dalam acara Fours wanita sementara perak dalam Kejohanan Juara-Juara Perseorangan Dunia 2018 menganggap pencapaian itu sebagai batu loncatan untuk kejayaan yang lebih besar kelak.
"Saya sangat bertuah kerana ini kali pertama saya memenangi Anugerah Olahragawati.
"Anugerah ini akan menjadi pemangkin semangat untuk saya lebih berjaya dalam boling padang," kata Nurul Alyani.
Sementara itu, peninju profesional negara, Farkhan Haron, menerima penghormatan tersenarai dalam "Dewan Kemasyhuran" UiTM 2018.
Must-Watch Video