Skip to main content

Sukan Asia

Khairul Hafiz: Kehadiran Poad di Jerman penting

khairul-hafiz-jantan.jpg
Raja pecut negara, Khairul Hafiz Jantan, tetap menginginkan jurulatih, Mohd Poad Md Kassim, turut bersamanya di Jerman secepat mungkin bagi kem latihan untuk persiapan Sukan Asia Indonesia 2018.

Khairul Hafiz, Muhammad Haiqal Hanafi dan Muhammad Zulfiqar Ismail yang berada di bawah bimbingan Poad, adalah antara pelari yang dibawa ke Eropah di samping Nixson Kennedy dan Jonathan Nyepa.

Permohonan cuti Poad baru sahaja diluluskan Kementerian Pendidikan Malaysia yang menyebabkan perancangannya ke sana tertangguh sehingga 20 Julai depan yang dianggap terlalu lewat.

Justeru, Khairul Hafiz mengharapkan Poad dibenarkan terbang ke Jerman lebih awal kerana kehadirannya amat bermakna bagi membantu persiapan Sukan Asia.

"Kami berasa kekok dengan ketiadaan jurulatih kerana ini kali pertama kami ke luar negara tanpa beliau. 

"Kami perlu belajar untuk berdikari tetapi saya mengharapkan beliau dapat pergi lebih awal daripada tarikh yang ditetapkan," katanya. 

Mereka bakal menyertai tiga siri kejohanan di Jerman yang turut menjadi sasaran kuartet 4x100 meter lelaki memperbaiki catatan masa 39.08 saat, iaitu catatan tempat keempat Sukan Asia Incheon 2014, bagi mencerahkan lagi peluang mereka untuk beraksi dalam acara itu menerusi kategori A di Jakarta nanti. 

"Kami masih belum tentu susunan yang diterapkan jurulatih. 

"Kami berharap dalam perlumbaan pertama di sana nanti, walaupun tidak memecah rekod kebangsaan, namun masih dapat menyamai rekod semasa dalam Sukan Komanwel Gold Coast yang lepas (39.37s)," katanya. 

Advertisement

Must Watch Video