Skip to main content

Advertisement

Sukan Lain

Keprihatinan kerajaan jadi cabaran buat atlet -- Shapawi

adf.jpg
Keprihatinan kerajaan terhadap perkara berkaitan kebajikan atlet harus dianggap sebagai satu cabaran kepada mereka dalam usaha untuk mengekalkan prestasi cemerlang dalam sukan.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail, berkata penekanan kerajaan daripada segi kebajikan adalah untuk memastikan atlet memberikan tumpuan kepada latihan tanpa gangguan perkara luar.

Malah, beliau berkata program latihan baru yang mengekalkan nama Program Podium ​harus menjadi ​​​​sasaran utama atlet di samping meneruskan matlamat utama program itu untuk meraih emas pertama negara dalam Sukan Olimpik 2020.

“Kami berasa lega, terutamanya apabila mendapat perhatian daripada pihak kerajaan, yang memberi satu suntikan sokongan kepada bidang sukan Malaysia. Perubahan yang berlaku diharap akan merangsang semangat dan memberi motivasi kepada atlet untuk beraksi dengan lebih baik.

“Podium adalah salah satu perkara utama untuk atlet kerana tidak kira di mana tahap atlet itu berada, kita sentiasa mahu berada di podium, sama ada pingat gangsa, perak atau emas.

"Sudah semestinya emas menjadi matlamat semua orang,” katanya kepada pemberita selepas pembentangan penstrukturan semula program latihan atlet kebangsaan 2019, hari ini.

Ahmad Shapawi berkata ​​atlet perlu melihat pembaharuan itu sebagai satu langkah positif yang harus diambil sebagai cabaran kepada mereka untuk mempamerkan prestasi yang lebih cemerlang.

“Kami menyediakan pakej kebajikan ini sebagai sebahagian daripada program latihan. Jadi, ia adalah satu program latihan yang keseluruhannya melibatkan kebajikan, kualiti latihan, pengurusan jurulatih dan pengurusan kemudahan latihan," katanya.

Sementara itu, Ahmad Shapawi memberi jaminan MSN mampu menguruskan atlet yang ramai di bawah Program Podium baru membabitkan 133 atlet Podium, 409 atlet Kita Juara dan 103 terdiri daripada atlet yang tidak pernah menyertai mana-mana program.

“Kami memang sedia ada mempunyai atlet yang besar dan pernah sampai hingga 1,000 atlet untuk dijaga. Pendekatan kami sekarang melibatkan 645 orang dan tidak melibatkan atlet pelapis. Daripada segi pengurusan, ia tidak menjadi isu kepada kami," ujar Shapawi.

Terdahulu, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, membentangkan penstrukturan semula program latihan atlet kebangsaan yang masih mengekalkan nama Program Podium serta peruntukan tambahan daripada kerajaan sebanyak RM28 juta, menjadikan keseluruhan peruntukan RM118 juta untuk program itu.

Selain itu, Syed Saddiq juga mengumumkan kadar terkini elaun kepada atlet kebangsaan membabitkan atlet sepenuh dan separuh masa di bawah Skim Elaun Latihan Atlet Kebangsaan 2019 melibatkan 645 atlet keseluruhannya.

Advertisement

Must Watch Video