Burung kenyalang terus terbang tinggi menghiasi pemandangan bumi Sarawak apabila sekali lagi dipilih sebagai maskot Sukan Malaysia (Sukma) 2024 di negeri itu.

Majlis pelancaran logo, maskot dan lagu Sukma Sarawak berlangsung gilang-gemilang di bandaraya Kuching hari ini, persis temasya sukan terkemuka berkonsepkan perpaduan dalam sukan.

Kekal mengangkat haiwan rasmi negeri tuan rumah itu, dua maskot diperkenalkan dengan nama Satria dan Satrina

Sebagai rekod, ia merupakan kali ketiga Sarawak dipilih sebagai tuan rumah Sukma selepas edisi 1990 dan 2016.

Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah, berkata kepada wartawan Astro Arena, Karl Nunis: "Untuk maskot, lagu dan juga lirik lagu, kami membuat pertandingan.

"Tadi ada ditunjukkan siapa pemenang-pemenangnya dan ada sedikit pembaharuan.

"Daripada maskot juga, sudah lama Sarawak menggunakan maskot yang sama tetapi kali ini ada kelihatan garang sedikit, Satria dan Satrina," katanya.