Skip to main content

Sukan Lain

Kemuka bukti atau berdepan tindakan undang-undang

nur-ayuni.jpg
Dua atlet menembak kebangsaan, Muslifah Zulkifli dan Nur Ayuni Farhana Abdul Halim, menggesa pihak berkaitan mengemukakan bukti bahawa wujud masalah disiplin di kalangan mereka atau sedia berdepan tindakan undang-undang.

Reputasi Muslifah dan Ayuni sebagai penembak terbaik negara terjejas berikutan timbul laporan bahawa mereka mempunyai masalah disiplin selain prestasi kurang memberangsangkan.

Mereka digugurkan daripada Program Podium, Februari lalu, selain tidak mendapat tempat untuk beraksi dalam Sukan SEA Kuala Lumpur, Ogos ini.

Menurut Muslifah, pelbagai cara telah diusahakan dirinya bersama Ayuni untuk mendapatkan penjelasan daripada pihak terlibat, namun semuanya menemui jalan buntu.

Lantas, mereka kini mahukan laporan penuh terhadap prestasi mereka sejak Januari 2016  selain permohonan maaf secara terbuka kerana mengaitkan mereka dengan masalah disiplin.

"Kita sekarang ini meminta pihak yang terbabit, tidak kisahlah persatuan, Majlis Sukan Negara (MSN) atau sesiapa sekalipun. Apa bukti mereka mengatakan bahawa kami tidak berdisiplin. 

"Kami juga mahukan permohonan maaf secara terbuka menerusi setiap media," ujar Muslifah.

Untuk rekod, dua lagi atlet menembak, Ezuan Nasir Khan serta Nur Suryani Mohd Taibi turut digugurkan daripada program tersebut, namun mereka ditempatkan dalam program Kita Juara selain tersenarai untuk ke Kuala Lumpur 2017.

Akur dengan keputusan tidak ke Sukan SEA, Ayuni bagaimanapun mempersoalkan bagaimana prestasi mereka dinilai sedangkan dia mencapai beberapa keputusan yang baik sebelum ini.

"Dalam kenyataan hari ini, hanya nama kami berdua sahaja yang disebut tidak mempamerkan aksi yang memberangsangkan.

"Jika begitu, mengapa kesemua empat penembak digugurkan daripada Program Podium? Kalau selama ini sudah merancang untuk mengeluarkan sukan menembak daripada Program Podium, tak perlu nak malukan nama kami sehingga tahap ini," tegas Ayuni.

Advertisement

Must Watch Video