SUKAN LAIN
Kelayakan Piala Dunia Kriket 2023: Malaysia berdepan tugas getir
Skuad kriket Malaysia berdepan saingan getir dalam misi pertama mereka untuk layak beraksi dalam Piala Dunia 2023 apabila dijadual bertemu pasukan pilihan, Uganda, dalam saingan Divisyen 4 Liga Kriket Dunia (WCL) ICC di Kinrara Oval, Puchong, esok.
Pasukan negara perlu menduduki dua tempat teratas dalam kejohanan enam negara itu untuk meraih tempat dalam saingan WCL 3 yang akan berlangsung penghujung tahun ini, diikuti WCL 2 pada 2019, namun Majlis Kriket Antarabangsa (ICC) belum mengumumkan saingan seterusnya selepas aksi divisyen dua itu.
Kejohanan WCL 5 melibatkan lapan negara yang akan berlangsung di Benoni, Afrika Selatan pada September 2017, menyaksikan Jersey dan Vanuatu dinaikkan beraksi dalam WCL 4 manakala Malaysia diturunkan bersaing dalam WCL 4 selepas menamatkan cabaran di tempat keenam dalam WCL 3, tahun lepas.
Iklan
Di atas kertas, skuad negara yang dibimbing jurulatih baharu dari Sri Lanka, Sampath Perera, dijangka tidak berdepan masalah besar menamatkan cabaran di kedudukan dua teratas, dengan kelebihan beraksi di tempat sendiri dan berada di ranking kedua di belakang pasukan nombor 25 dunia, Uganda.
Namun, ketua pasukan, Mohd Anwar Arudin, 34, mengingatkan rakan sepasukan bahawa kriket adalah sukan yang sukar dijangka kerana pasukan berada di ranking lebih tinggi boleh ditewaskan jika lawan mereka menampilkan strategi betul dan beraksi secara berpasukan.
“Kesemua lima perlawanan penting bagi kita, bukan sahaja aksi menentang Uganda. Kita perlu menampilkan prestasi terbaik dalam setiap perlawanan untuk meraih kedudukan dua teratas dalam saingan round robin itu. Kita perlu menghormati semua pasukan kerana mereka berkemampuan menewaskan kita.
“Persiapan kita baik selepas sebulan aksi jelajah di Sri Lanka, dengan kita meraih banyak pengetahuan dan pengalaman. Kita perlu mendapatkan tempat beraksi dalam WCL 3 kerana kita berhak bersaing dalam divisyen tersebut,” katanya dalam sidang media ketua-ketua pasukan hari ini.
Mengenai kelebihan beraksi di laman sendiri, sarjan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) itu berkata pasukan tuan rumah perlu menggunakan kelebihan cuaca dan membiasakan dengan keadaan padang yang berbeza kerana kejohanan berkenaan akan berlangsung di Kinrara Oval, UKM Oval di Bangi dan Kelab Diraja Selangor (RSC) Oval.
“Ya, kita memang sudah membiasakan diri dengan gelanggang pertandingan ini. Hanya UKM Oval sedikit berbeza manakala keadaan padang di Kinrara dan RSC adalah sama. Jadi, mata di UKM Oval akan lebih rendah kerana lantunan bola tidak tinggi dan bagus kepada ‘spin bowler’,” katanya.
Sementara itu, ketua pasukan Uganda, Fred Achelam, berkata pasukannya akan memberi tentangan sengit kepada semua pasukan, termasuk Malaysia, agar mereka dapat kembali beraksi dalam saingan WCL 3.
“Perlawanan esok adalah penting dan kami tidak akan mengambil mudah,” katanya.
Selepas cabaran sengit menentang Uganda, pasukan Malaysia yang muncul juara Sukan SEA 2017 (50 overs), akan menentang Vanuatu pada 30 April di Kinrara Oval; Denmark (ranking ke-27 dunia) pada 2 Mei di UKM Oval, diikuti dua perlawanan di RSC Oval, bertemu Jersey pada 3 Mei dan Bermuda pada 5 Mei.
-- BERNAMA
Must-Watch Video