Harapan penyerang muda Perancis, Hugo Ekitike untuk beraksi di pentas terbesar dunia musnah sekelip mata apabila disahkan terlepas Piala Dunia FIFA 2026 akibat kecederaan tendon Achilles yang serius.
Kecederaan itu berlaku ketika beliau beraksi bersama Liverpool FC dalam aksi Liga Juara-Juara menentang Paris Saint-Germain di Anfield -- satu detik yang bertukar daripada peluang ke mimpi ngeri.
Advertisement
Menurut laporan, pemain berusia 23 tahun itu rebah tanpa sentuhan sebelum diusung keluar dalam keadaan penuh emosi, memberi gambaran awal bahawa kecederaan yang dialaminya bukan sesuatu yang ringan.
Pengurus Perancis, Didier Deschamps kemudian mengesahkan bahawa kecederaan tersebut akan menyebabkan Ekitike terlepas baki musim bersama Liverpool dan juga kempen Piala Dunia yang bakal berlangsung Jun ini.
Ekitike sebelum ini berada dalam momentum terbaik, bertindak sebagai penjaring utama Liverpool dengan 17 gol dalam semua pertandingan musim ini.
Dia juga antara wajah baharu yang dilihat mampu memperkukuh jentera serangan Les Bleus menjelang kejohanan besar.