Skip to main content

Sepak Takraw

Kelantan mahu jadi juara keseluruhan Kejohanan Sepak Takraw MSSM 2017- Nuzulhan

skuad-takraw-malaysia-yakin-menyerlah-di-bangkok.jpg

Kelantan berazam untuk muncul juara keseluruhan dalam Kejohanan Sepak Takraw Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) 2017 di Wisma Sukan, Jalan Telipot, Kota Bharu dan Dewan Badminton, Universiti Sains Malaysia (USM), Kubang Kerian mulai hari ini hingga 23 Mac depan.

Ketua Unit Sukan, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Kelantan,  Muhammad Nuzulhan Muhammad Zain, berkata ini peluang keemasan kepada skuad sepak takraw negeri untuk mengulangi sejarah tujuh tahun lepas  apabila Kelantan menjadi tuan rumah dan muncul juara keseluruhan dengan menggondol lima pingat emas dan satu gangsa.

“Insya-Allah, dengan kesungguhan dan komitmen semua pihak (pemain, jurulatih dan pengurusan), kami meletakkan sasaran untuk masuk final dalam semua kategori peringkat umur. Jika menjadi juara, ia dianggap sebagai bonus dan kami mampu muncul sebagai juara keseluruhan kejohanan sepak takraw kali ini.

“Lebih membanggakan apabila regu A bawah 18 kami berjaya muncul juara dalam Kejohanan Sepak Takraw Piala Tok Pa dengan menewaskan 28 regu yang bertanding, minggu lepas dan ini menjadi suntikan motivasi kepada seluruh kontinjen Kelantan bagi  memberi cabaran hebat kepada pasukan negeri lain nanti,” katanya.

Ditanya mengenai sesi latihan yang telah diadakan, Nuzulhan menjelaskan skuad ini telah melalui tiga fasa Kem Libasan Emas mulai November lepas selain latihan pusat selama 10 hari sebagai bukti betapa seriusnya Kelantan untuk kembali bergelar juara keseluruhan.

“Malah, kami juga diperkuatkan dengan dengan tiga pemain dari Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) dan Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) bagi menggalas cabaran Kelantan dalam kejohanan kali ini,” katanya.

Nuzulhan juga mengajak semua peminat sepak takraw negeri ini untuk turun beramai-ramai memberi sokongan kepada pemain tuan rumah dalam kejohanan yang berlangsung selama lima hari ini.

“Saya menyeru semua peminat untuk turun beramai-ramai menyaksikan kejohanan ini di Wisma Sukan, Jalan Telipot (bawah 18) dan Dewan Badminton USM (bawah 12 dan 15), sekaligus memberi sokongan padu kepada Kelantan untuk merealisasikan impian bergelar juara keseluruhan,” katanya.

Advertisement

Must Watch Video