Skip to main content

Sukan Lain

Kelantan dinobat juara acara bola baling MSSM 2025

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

kel.jpg
Majlis Sukan Sekolah (MSS) Kelantan mengesahkan gelaran juara kategori lelaki B-18 Kejohanan Bola Baling Majlis Sekolah Sukan Malaysia (MSSM) 2025 selepas mengatasi MSS Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dalam pentas final yang berlangsung pada hari ini.

Seperti dijangkakan, kedua-dua pasukan bakal tampil dengan corak permainan pantas sebaik sahaja perlawanan bermula dengan aksi saling berbalas jaringan, bagaimanapun ia tetap memihak keapda MSS Kelantan untuk mendahului perlawanan di babak pertama 10-7.

Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang kembali memperkemaskan permainan di babak kedua cuba bangkit mengejar kedudukan namun ketenangan serta keampuhan tatkala bertahan membolehkan Kelantan melangkah keluar selaku juara pada edisi kali ini dengan keputusan muktamad 21-15.

"Bagi saya perlawanan tadi baik, semua pemain beraksi dengan baik. Saya harap kami dapat kekalkan momentum ini untuk tahun depan juga. Saya harap kami semua akan maju jaya." kata Kapten MSS Kelantan, Adam Harriz Marzuki.

"Saya berterima kasih kepada keluarga, pada guru yang mengajar saya. Saya tidak percaya. Ini kali pertama jadi johan dan Berjaya jadi pemain terbaik." tambah Pemain Terbaik MSSM, Aliff Ziqri. 

Sementara itu, saingan dalam kategori perempuan B-18 pula menyaksikan MSS Terengganu muncul juara selepas menewaskan MSS Sarawak.

Babak pertama berlangsung menarik dengan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan namun ketajaman penyudah Skuad Peteh menjadi pemisah untuk mereka mendahului 9-6.

Bersambung babak kedua, MSS Terengganu yang turun dengan status pasukan pilihan kekal mempamerkan corak permainan berdisiplin di segenap posisi, sekali gus menyekat kemaraan MSS Sarawak untuk menoktahkan kejuaraan dengan keputusan 17-13.

Kemenangan ini juga menyaksikan MSS Terengganu berjaya menebus kekecewaan mereka musim lalu apabila sekadar menamatkan saingan di kedudukan secara ketiga keseluruhan.

 

Advertisement

Must Watch Video