Bandaraya Kuala Lumpur dimeriahkan dengan larian obor Kejuaraan Dunia M6 menandakan simbolik perjuangan pasukan terhebat serata dunia merebut kejuaraan paling berprestij itu.
Menurut wartawan Astro Arena, Karl Nunis, sempat menerjah program tersebut yang dihiasi oleh personaliti popular, pempengaruh media sosial dan artis tempatan yang turut mendukung arena e-sukan negara.
Persembahan ratu rock negara, Ella Aminuddin, serta petunjukan pakaian 'cosplay' turut menjadi tumpuan larian tersebut demi memperkenalkan acara itu ke seluruh rakyat yang hadir di Bukit Bintang.
Kemunculan lagu Faizal Tahir meniupkan lagi semangat api membara mengiringi perjuangan barisan wakil negara ke peringkat tertinggi dunia.
"Sekiranya juara kejohanan siri dunia itu di tangan Malaysia, sekali gus menukar stigma bahawa pasukan Malaysia juga salah satu ancaman terbaru dunia.
"Sebelum ini, pasukan negara kerap tewas atau dibelasah oleh wakil negara seperti Indonesia atau Filipina," kata tokoh Mobile Legends Bang Bang (MLBB) negara, Faris Zakaria atau lebih dikenali Soloz.
Di samping itu, pelakon aksi lasak, Hairul Azreen, berharap juara dunia, Selangor Red Giants (SRG) membawa kejayaan sulung buat Malaysia seterusnya memecahkan kebuntuan pasukan pertama lolos ke final dan menjuarai M6.
Promosi permainan alam maya itu semakin meluas di kalangan masyarakat khususnya menanam minat dan memberi sokongan terhadap industri itu untuk menaikkan sukan tersebut ke arah lebih tinggi.
"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada MLBB kerana memilih saya dan rakan-rakan sebagai duta. Saya mendoakan kejayaan Malaysia dan harus berbangga dengan pencapaian mereka kerana bukan mudah untuk menjadi tumpuan dunia," kata Zizan Razak kepada Nadi Weekend.
Penyanyi sedang meningkat naik, Zubir Khan, juga mengajak semua orang ke IOI City Mall, Putrajaya untuk memberi sokongan penuh kepada wakil negara.
Najmi Iman
Sat Nov 30 2024