SUKAN LAIN
Kejohanan Dunia jadi keutamaan Emma
Emas Sukan Komanwel 2018 belum cukup buat atlet boling padang negara, Emma Firyana Saroji, kerana dia masih mengimpikan satu lagi kejuaraan utama yang belum dimilikinya sehingga hari ini, iaitu Kejohanan Boling Padang Dunia.
Ironinya, dia pernah berpasangan dengan Siti Zalina Ahmad dalam Kejohanan Boling Padang Dunia 2016 di New Zealand yang menyaksikan mereka terkandas dalam suku akhir.
Selain berpasangan wanita, Emma turut beraksi dalam acara berpasukan, namun terkandas di peringkat kumpulan.
Iklan
Emma perlu menunggu dua tahun lagi untuk mengejar cita-citanya itu kerana kejohanan berkenaan hanya dilangsungkan empat tahun sekali.
"Masih ada satu kejohanan yang saya belum memenangi pingat, iaiu Kejohanan Dunia. Di sana, saya masih mencari kejuaraan. Apabila orang tanya saya tidak mahu berhenti? Saya akan jawab 'belum lagi'.
"Ada lagi yang saya sasarkan dalam kerjaya saya dalam boling padang. Kejohanan yang dinanti-nantikan itu akan diadakan pada 2020," katanya.
Sementara itu, Mohd Soufi Rosli bersemangat mahu bangkit kembali daripada prestasi hambar ketika Sukan Komanwel 2018 apabila bertanding dalam Kejohanan 12 Negara di Wales, bulan depan.
Dia, yang menjadi taruhan dalam acara perseorangan lelaki, dijangka sekali lagi berdepan rintangan sukar jika menentang peserta Scotland, Darren Burnett.
"Di Wales nanti, semua lawan sukar kerana 12 negara yang datang semuanya kuat-kuat.
"Saya menyasarkan untuk mendapat tempat sebaik yang mungkin," katanya.
Must-Watch Video