Skip to main content

Advertisement

Sukan Lain

KBS sedia buka ruang pelajar Henry Gurney jadi atlet negara

syedsaddiq.jpg
Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bersedia memberi ruang dan peluang kepada pelajar Sekolah Henry Gurney di Telok Mas, Melaka bersaing bagi merebut tempat dalam skuad kebangsaan dan bergelar atlet negara.

Menterinya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, berkata sebelum ini mereka hanya diberi peluang beraksi dalam Sukan Malaysia (Sukma) dan ada yang mampu meraih pingat emas bagi acara tinju.

“Saya difahamkan bahawa ada seorang pelajar layak mewakili negara ke Kejohanan Muay Thai Dunia di Bangkok, Thailand baru-baru ini. Namun mengikut undang-undang negara, dia tidak boleh ke luar negara kerana masih menjalani hukuman.

“Bagi mengatasi masalah ini, saya akan lakukan perbincangan dengan (Menteri Dalam Negeri) Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mencari jalan supaya kes sebegini tidak berulang,” katanya.

Turut hadir Ketua Pengarah Penjara Malaysia, Datuk Zulkifli Omar, dan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail.

Syed Saddiq juga berkata KBS akan menyerahkan gelanggang tinju yang dihadiahkan oleh juara tinju dunia, Manny Pacquiao, kepada Sekolah Henry Gurney sebagai menghargai usaha pelajar-pelajar di situ.

"Mereka ini merupakan aset dan perlu diberi peluang untuk mewakili negara,” katanya, menambah sukan merupakan alternatif terbaik untuk membentu masyarakat, khususnya generasi muda.

Seramai 61 pelajar Sekolah Henry Gurney terlibat dalam program KBS, iaitu 25 dalam acara tinju, 18 pelajar dalam Muay Thai dan 18 lagi dalam acara angkat berat​​​​​​​.

Sementara itu, Syed Saddiq berkata KBS juga akan berusaha membantu menambah kemahiran pelajar Sekolah Henry Gurney melalui projek rintis bersama Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) yang dijangka dilaksanakan bulan depan.

"Kami akan menggerakkan program perintis dengan IKTBN Chembong, Negeri Sembilan dan jika berjaya, program tersebut akan diperluas ke seluruh negara. Ini dapat membantu belia berisiko untuk terus maju ke depan​​​​​​​."

-- BERNAMA

Advertisement

Must Watch Video