Skip to main content

Sukan Asia

Karate: Syakilla tertekan

syakilla_1.jpg
"Saya tertekan," itu reaksi atlet karate harapan negara, Syakilla Salni Jefry Krisnan, sebaik dipersoalkan prestasi merundumnya dalam Sukan Asia yang menafikan pingat untuknya.

Syakilla dibayangi isu tidak berkesudahan sejak sebelum saingan Sukan Asia bermula, dan dia mengakui tekanan yang dirasai begitu hebat sehingga mengganggu tumpuannya dalam persediaan ke Jakarta.

Syakila melabelkan ini persediaan terburuknya dalam mana-mana kejohanan, baik melibatkan mental mahupun fizikal.

"Tekanan memang ada memandangkan banyak masalah yang wujud. Persiapan kali ini juga tidak begitu lancar seperti sebelum ini. 

"Kami tidak begitu bersedia. Segalanya tampak tidak kena," kata Syakilla.

Tidak menafikan isu disiplin dan masalah berat badan dihadapinya sebelum ini, namun kesan kontroversi itu amat besar buat bekas atlet nombor satu dunia ini.

"Buat masa sekarang, rasa sedih dan tertekan itu memang ada. Jadi, apabila pulang ke Malaysia, saya mahu mencari ruang sebelum memulakan semula dari awal.

"Sasaran seterusnya adalah Kejohanan Dunia dan saya meletakkan harapan untuk menamatkan saingan itu di podium memandangkan ia memberikan tiket automatik ke Sukan Olimpik 2020. Sukan Asia sudah tamat," katanya.

Kegagalan Syakilla meraih pingat menghampakan negara, terutama setelah diberi penghormatan selaku pembawa bendera selain teguran sinis jurulatihnya, Andres Vasiljavs.

Advertisement

Must Watch Video