Skip to main content

Sukan Asia

Karate: Syakila digesa jangan cipta alasan

syakilla.jpg
Jurulatih karate negara, Andris Vasiljevs, mahu atlet harapan pingat emas, Syakila Salni Jefri Krisnan, tidak menuding jari dan cuba menyalahkan orang lain ekoran kegagalannya dalam saingan kumite wanita 55 kilogram Sukan Asia Jakarta-Palembang. 

Vasiljevs tidak berselindung dengan rasa hampa terhadap prestasi Syakila yang mengecewakan.

Sandaran besar diletakkan di bahu Syakila setelah atlet itu membina kredibiliti hebat hasil pencapaian di pentas antarabangsa sebelumnya.

Vasiljevs menegaskan betapa setelah segala ruang dan peluang yang diberikan, Syakila kini perlu memikirkan apa langkah yang wajar diambilnya selepas ini.

"Segalanya bergantung kepada prestasi dalam kejohanan. 

"Dia harus memikirkan tujuan dia berlatih," kata Vasiljevs.

Prestasi Syakila semalam menyemarakkan kembali isu lama berkaitan isu disiplin atlet tersebut sebelum bermulanya temasya di Indonesia kali ini.

Lebih parah apabila penghargaan selaku pembawa bendera yang diberikan kepadanya hampir ditarik balik ekoran isu yang melanda atlet kelahiran Selangor itu.

"Dia sepatutnya berada di podium dan Syakila tidak melakukan apa yang sepatutnya," tambahnya. 

Kehampaan terus menyelubungi skuad karate negara apabila harapan terakhir yang disandarkan kepada P. Madhuri bagi acara 50kg wanita juga gagal membuahkan hasil.

Peserta negara yang baru berusia 19 tahun ini gagal mempamerkan sebarang kesan dalam aksi kelayakan selepas peserta dari Kazakstan, Moldir Zhangbyrbay, mudah mengatasinya dalam aksi tiga pusingan dengan kutipan dua mata tanpa balas.

Malaysia menamatkan cabaran karate pada hari terakhir di Pusat Konvensyen Jakarta tanpa pertambahan emas dan sekadar mengutip satu gangsa secara keseluruhan

Advertisement

Must Watch Video