Persiapan ke Sukan SEA Filipina hujung bulan ini bukan perkara yang mudah bagi atlet karate negara, S. Prem Kumar, apabila menjadi sandaran pingat emas setelah persaraan jaguh karate negara, Syakilla Salni Jefry Krisnan.
Sebelum ini, skuad karate negara dilanda beberapa kemelut seperti isu berat badan Syakilla Salni serta masalah kualiti rakan sepelatih.
Bagaimanapun, setelah pulih daripada kecederaan dan mempunyai rakan sepelatih yang lebih bagus, Prem percaya mampu membuahkan kejutan dalam temasya dwitahunan itu.
"Setakat ini, persiapan kami berjalan dengan sangat lancar, kami menimba pengalaman daripada jurulatih secara berperingkat.
"Malah, rakan sepelatih (dari luar) juga sudah sampai untuk membantu persiapan kami bagi menghadapi Sukan SEA.
"Secara keseluruhannya, kami meniti di landasan tepat dan saya yakin kami akan dapat memberikan aksi terbaik," katanya.
Dua tahun lalu di Kuala Lumpur, skuad karate negara meraih tujuh emas, dua perak dan empat gangsa dan untuk saingan kali ini, skuad negara menyasarkan sekurang-kurangnya empat emas.
Penulis Jemputan
Thu Nov 07 2019