SUKAN ASIA 2018
Kanu: Skuad polo negara hampir cipta kejutan
Pengembaraan menakjubkan skuad kanu polo negara membawa mereka ke final Sukan Asia 2018 tetapi impian untuk mengejutkan dunia kecil sukan ini tidak kesampaian apabila tumbang di tangan Jepun dalam acara yang berada di bawah peruntukan pertunjukan bagi temasya edisi ini.
Tiada siapa menyangka Malaysia berupaya untuk menempatkan diri dalam perebutan pingat emas.
Pencinta tulen sukan ini mengetahui apa yang dilalui skuad negara untuk sampai ke tahap ini.
Iklan
Dalam laluan mereka ke final, bekas juara Asia, Iran dan Taiwan, antara yang menjadi mangsa skuad negara dengan Malaysia menang 4-3 serta 6-4.
"Kami tidak menjangkakan mampu menewaskan Iran. Kami meletakkan sasaran untuk saingan pada empat tahun akan datang," kata kapten negara, Irfan Abu.
Bagaimanapun, berdepan Jepun dalam aksi final, semangat juang tinggi pemain negara tidak memadai untuk menandingi lawan.
Malaysia dikejutkan dengan beberapa jaringan awal tetapi tetap berupaya merobek gawang lawan, dengan pertembungan selama 20 minit itu berakhir dengan kemenangan 8-2 buat Jepun.
"Tahap permainan kami dalam aksi final masih lagi belum memadai. Kami akan terus berusaha bagi kejohanan akan datang," atlet negara, Amirudin Shuib.
"Saya berpuas hati dengan prestasi pasukan. Sasaran awal adalah mara ke separuh akhir sahaja. Malaysia memiliki skuad yang muda dan mampu menghasilkan persembahan yang lebih mantap pada edisi akan datang," kata jurulatih negara, Liang Song Peng.
Sementara itu, Timbalan Chef-de-Mission (CDM) negara, Datuk Dr. SS Cheema, berasakan sukan kanu polo memiliki potensi besar di Malaysia.
Jika menepati pada bentuk perancangan dan suntikan dana, tidak mustahil sukan itu mampu menjadi satu cabang penyumbang pingat buat Malaysia.
Sukan ini akan terus diuji penganjurannya dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020 dan hampir pasti disertakan dalam Sukan Asia 2022.
"Atlet telah menampilkan persembahan yang cemerlang. Mereka mampu membentuk persembahan yang lebih baik pada masa akan datang jika memiliki program yang khusus bagi membantu persiapan mereka," katanya.
Must-Watch Video