Skip to main content

Advertisement

Sukan Lain

Kanak-kanak kelainan upaya warnai BIM 2017

15317musaaman.jpg
Marathon Antarabangsa Borneo (BIM) bakal menampilkan 100 kanak-kanak kelainan upaya yang akan turut menyertai kejohanan tahunan itu di Kota Kinabalu pada 7 Mei depan.

Kejohanan edisi ke-10 itu dijangka mendapat penyertaan lebih ramai peserta berbanding sebelum ini dengan pelbagai kategori bakal dipertandingkan.

Presiden Kelab Larian Kinabalu yang juga Pengarah Perlumbaan BIM, Datuk Dr Heng Aik Cheng, berkata kejohanan itu akan turut mendapat kerjasama Tabung Kanak-Kanak, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF).

"Untuk kejohanan BIM tahun ini, kami akan bekerjasama dengan UNICEF dengan tema larian kali ini ialah #thisability iaitu bagi mempromosikan kesungguhan kanak-kanak kurang upaya.

"Kami mahu memberi peluang kepada kanak-kanak kurang upaya untuk meningkatkan kebolehan serta potensi mereka. Kami juga mahu mereka menyertai semua aktiviti yang dijalankan," katanya dalam majlis pelancaran BIM UNICEF, hari ini.

Turut hadir Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman, Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Yeo Boon Hai, dan wakil UNICEF ke Malaysia, Marianne Clark-Hattingh.

Terdahulu, Heng berkata dia menjangkakan seramai 8,000 hingga 10,000 peserta, termasuk dari luar negara, akan menyertai kejohanan tahunan berkenaan.

Larian yang mula diperkenalkan pada 2008 itu bakal mempertandingkan pelbagai kategori bagi larian sejauh 42 kilometer (km), 21km, 15km dan 5km.
 

Advertisement

Must Watch Video