Skip to main content

Advertisement

Permotoran

Jawatankuasa Permotoran Sementara ambil alih fungsi AAM

zaiton-othman.jpg
Sebuah jawatankuasa permotoran sementara ditubuhkan untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab Persatuan Automobil Malaysia (AAM) yang telah dibatalkan pendaftarannya sehingga badan pengelola baru sukan permotoran negara dimuktamadkan.

Pesuruhjaya Sukan (PJS), Datuk Zaiton Othman, berkata jawatankuasa tersebut akan menyelia dan menguruskan hal-hal berkaitan sukan permotoran susulan pembatalan pendaftaran AAM pada 30 November tahun lalu.

Beliau berkata penubuhan jawatankuasa sementara di bawah PJS itu adalah hasil pertemuan dengan badan-badan gabungan sukan permotoran di negara ini.

 ​​​​​​​“Untuk makluman, pelumba yang telah mempunyai lesen perlumbaan AAM boleh meneruskan aktiviti sukan permotoran seperti biasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

PJS membatalkan pendaftaran AAM selepas persatuan itu gagal mengemukakan minit mesyuarat agung, senarai ahli jawatankuasa, penyata kewangan diaudit, laporan aktiviti tahunan dan senarai keahlian sejak 2016.

Justeru, PJS memaklumkan kepada Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) dan Persekutuan Permotoran Antarabangsa (FIM) mengenai pembatalan AAM melalui surat bertarikh 8 Mac lalu.

Sementara itu, Setiausaha Agung FIA Bagi Sukan Permotoran, Peter Bayer, menerusi surat balas kepada PJS berkata pihak FIA akan mengambil langkah yang sewajarnya.

“FIA telah mengambil perhatian bahawa AAM tidak lagi diiktiraf oleh pihak berkuasa awam negara untuk pengurusan sukan permotoran di peringkat kebangsaan dan ia tidak dibenarkan mewakili negara di peringkat antarabangsa," katanya dalam surat bertarikh 12 Mac itu.

-- BERNAMA
 

Advertisement

Must Watch Video