OLAHRAGA
Jangan mudah nilai atlet olahraga -- Zainal
Ketua jurulatih olahraga negara, Zainal Abas, tidak mahu aksi dalam Sukan Komanwel lalu mudah dijadikan penilaian bagi semua pihak ketika 2018 menawarkan pelbagai kejohanan untuk menentukan prestasi sebenar atlet olahraga.
Baginya, ia bukan penilaian adil ketika nama-nama harapan seperti Nauraj Singh, Muhammad Hakimi Ismail dan Muhamad Irfan Shamsudin gagal memberi aksi terbaik sekalipun mereka berada dalam Program Podium.
Zainal tidak mahu hal itu dijadikan penilaian mudah dengan menegaskan penampilan sebenar mereka di balapan mampu dibuktikan dengan keputusan lebih baik selepas belajar daripada kesilapan di Gold Coast lalu.
Iklan
"Penilaian bagi tahun 2018 bukan dalam Sukan Komanwel semata-mata. Apa yang berlaku selepas itu juga penting seperti Kejohanan Terbuka Thailand dan Terbuka Korea Selatan yang akan disertai oleh atlet-atlet Malaysia untuk dijadikan kayu pengukur sebelum dinilai ke Sukan Asia 2018," katanya.
Sehubungan itu, pendedahan di luar negara akan terus diberikan kepada tiga atlet itu selain beberapa kejohanan seperti Terbuka Malaysia dan Terbuka Thailand, sebelum menghadapi cabaran kedua, iaitu Sukan Asia Indonesia, 18 Ogos-2 September depan.
"Jika dilihat kepada Nauraj dan Lee Hup Wei, mereka masih meneruskan latihan mereka. Nauraj akan ke Jepun untuk satu siri latihan dan juga pertandingan manakala Rayzam Shah Wan Sofian yang bertanding dalam 110 meter berpagar akan ke Jerman bersama jurulatih bulan depan," tambahnya.
Zainal sendiri sudah menjelaskan tanggungjawab atlet Program Podium yang perlu mengejar pingat.
Selepas apa yang berlaku di Gold Coast, Sukan Asia Indonesia adalah medan seterusnya untuk mengembalikan kepercayaan orang ramai terhadap mereka.
Must-Watch Video