Skip to main content

Sukan Lain

Isu doping: Perlu bukti kukuh kaitkan jurulatih

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

ss-cheema.jpg
Majlis Olimpik Malaysia (MOM) meminta atlet olahraga yang positif doping memberikan bukti kukuh untuk mengaitkan jurulatihnya dalam isu itu atau dia perlu bertanggungjawab sepenuhnya selepas dikesan menggunakan bahan terlarang jenis steroid.

Sebarang dakwaan perlu disertakan dengan bukti kukuh. Ia termaktub dalam peraturan Agensi Anti Doping Dunia (WADA) bahawa atlet boleh mengurangkan hukuman penggantungan jika dapat membuktikan bahawa mereka menjadi mangsa penganiayaan.

Jika tidak, atlet terbabit perlu bertanggungjawab sepenuhnya.

"Tanpa bukti, sekadar kata-kata tidak cukup. Sekarang, (karier) atlet yang akan habis (musnah). 

"Kalau ada bukti, tindakan boleh diambil ke atas jurulatihnya," kata Pengerusi Jawatankuasa Perubatan MOM, Datuk Dr SS Cheema, di Bukit Jalil hari ini. 

Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) semalam mengesahkan laporan Nadi Arena bahawa seorang pelari pecut berusia 17 tahun positif steroid jenis metasterone dan oxymetholone selepas menyertai Kejohanan Tertutup Malaysia, Ogos tahun lalu.

Jika didapati bersalah, atlet terbabit boleh dikenakan penggantungan empat tahun.

"Ia boleh memberi kesan kepada seluruh tubuh badan.

"Penggunanya boleh bertindak agresif, bunuh diri.

"Ia boleh menyebabkan serangan strok dan serangan jantung, termasuk barah hati,"  tambahnya.

Sementara itu, skuad negara terkejut dengan dakwaan yang membabitkan seorang jurulatih berprofil tinggi berkenaan, namun yakin KOM akan menjalankan siasatan terperinci.

Kedua-dua individu itu akan dipanggil menghadap Jawatankuasa Siasatan KOM minggu depan.

"Terdapat banyak makanan tambahan yang boleh didapati di pasaran gelap.

"Seseorang jurulatih itu perlu memberi panduan bahawa ia menjadi satu kesalahan," kata ketua jurulatih skuad olahraga negara, Mohd Mansahar Abd Jalil, di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil. 

Menurut jurulatih pecut negara, M. Balamurugan pula: "Atlet tidak boleh beritahu (gunakan alasan bahawa) pil itu adalah melalui pemberian jurulatih.

"Sebagai atlet, mereka harus tahu apa yang mereka ambil.

"Apabila didapati positif doping, atlet tidak boleh salahkan jurulatih. 

"Jurulatih tidak hanya memantau seorang atlet sahaja."

Jaguh lompat tinggi kebangsaan, Nauraj Singh Randhawa, juga menentang penggunaan sebarang bahan terlarang. 

"Penggunaannya dilarang kerana ia memberi kesan buruk kepada tubuh badan," katanya.
 


Editor: Shaiful Shamsudin 
 

Advertisement

Must Watch Video