Skip to main content

Sukan Lain

Isu doping: Atlet negara teliti soal pemakanan

doping.jpg
Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) akan mengadakan mesyuarat khas esok bagi membincangkan isu atlet positif bahan terlarang jenis steroid selepas menyertai Kejohanan Tertutup Malaysia 2019.

Kes doping olahraga mengundang persoalan mengenai identiti atlet terbabit.

Rata-rata atlet olahraga negara mendakwa mereka amat teliti mengenai sebarang bahan yang dimasukkan ke dalam tubuh mereka, terutama makanan tambahan.

Sehubungan itu, mereka meminta KOM untuk mendedahkan identiti atlet terbabit.

"Atlet di bawah Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN) memang mematuhi arahan. 

"Contohnya, kami hanya menjamah makanan di MSN manakala makanan tambahan, kami hanya mengambil apa yang telah disarankan oleh ISN," kata atlet heptatlon negara, Norliyana Kamaruddin, di Bukit Jalil hari ini. 

Dalam masa sama, atlet lompat jauh negara, Luqman Hakim Ramlan, berharap teka-teki tersebut akan didedahkan dengan segera. 

"Kami harap KOM mengumumkan nama atlet tersebut supaya atlet peka dengan perkembangan semasa.

"Ini disebabkan perkara seperti ini ditekankan kepada semua atlet," katanya. 

Menurut atlet paralimpik negara, Latif Romly, pula: "Atlet perlu mengutamakan masa, latihan dan makanan. 

"Kalau ambil makanan tambahan, atlet perlu rujuk kepada ISN." 

Kali terakhir skuad olahraga dilanda kes doping ialah dalam Sukan SEA Indonesia 2011 yang membabitkan kuartet 4x400m lelaki negara.

"Kami masih membuat siasatan dan kalau atlet terbabit mahu menjalani ujian sampel B, kami akan lakukannya. 

"Esok kami akan bermesyuarat dan keputusannya akan dimaklumkan kepada media," jelas Presiden KOM, Datuk S.M. Muthu.




Editor: Shaiful Shamsudin 

Advertisement

Must Watch Video