Skip to main content

Olimpik

Indonesia, Thailand, Filipina dan Singapura sudah melakar emas Olimpik, di manakah silap kita?

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

pingat.jpg
Malaysia masih belum berjaya meraih pingat emas Olimpik walaupun sudah berpuluh tahun menyertainya. Negara jiran seperti Indonesia, Thailand, Filipina dan Singapura sudah pun berjaya mencatat sejarah dengan emas masing-masing.

Perkara ini sering menimbulkan persoalan mengapa Malaysia masih terkandas, walaupun kita memiliki
kemudahan moden, program pembangunan atlet, dan sokongan kerajaan.

Adakah salah satu sebab utama ialah fokus pembangunan sukan negara yang terlalu luas. Malaysia cuba menonjol dalam pelbagai jenis sukan, akan tetapi pemfokusan pada 1 atau 2 sukan strategik seperti badminton dan basikal juga tidak berjaya memecah kebuntuan pingat emas olimpik dunia. Sebaliknya, Indonesia benar-benar menumpukan pada badminton, Thailand pada tinju dan angkat berat, manakala Singapura melabur habis-habisan dalam renang sehingga mampu melahirkan juara Olimpik Dunia.

Selain itu, budaya sukan di Malaysia juga masih mencari identiti tersendiri. Walaupun, kita ada ikon besar dan jaguh dunia seperti Lee Chong Wei, Azizulhasni Awang, Nicol David dan Pandelela Rinong, akan tetapi kita masih belum berjaya mencari peganti setara mereka dan masih belum wujud tradisi emas spesifik sukan di Olimpik. Negara jiran pula sudah lama membina “DNA sukan” mereka. Badminton di Indonesia misalnya bukan sekadar sukan, tetapi sebahagian daripada jati diri bangsa.

Dari segi pengurusan, Malaysia masih terikat dengan birokrasi, isu politik dan kepimpinan persatuan. Kadang kala halatuju berubah mengikut kepimpinan yang dilantik, menyebabkan kesinambungan pembangunan atlet terganggu.

Tidak dinafikan, politik juga penting dalam sukan untuk sumber dana dan bajet kewangan. Namun begitu, adakah formula strategi ini berjaya di Malaysia. Thailand dan Indonesia lebih fokus kepada sukan yang mereka tahu boleh membawa pulangan, manakala Singapura jelas memilih strategi melatih segelintir atlet elit di luar negara dengan sokongan penuh.

Faktor mentaliti juga memainkan peranan besar. Atlet Malaysia sudah banyak kali berjaya sampai ke peringkat akhir Olimpik, akan tetapi Negara Malaysia masih akur, kita gagal menggunakan peluang itu kepada emas. Tekanan mental dan harapan tinggi Negara ketika saat genting menjadi penghalang.

Adakah ini kerana, Atlet Thailand atau Indonesia lebih lasak dan berdaya saing kerana terbiasa dengan sistem
latihan keras dan budaya yang mendidik mereka untuk tidak mudah menyerah. Ia perlukan kajian lanjut tentang perbahasan ini.

Jumlah penduduk juga memberi kesan. Malaysia dengan populasi 33 juta penduduk memiliki bakat yang sederhana luas, akan tetapi tidak cukup besar untuk melahirkan ramai juara bertaraf dunia tanpa sistem pembangunan kenalpasti bakat yang benar-benar efisien dan optima.

Indonesia dengan 270 juta rakyat mempunyai kolam bakat yang lebih besar, manakala Singapura pula bijak mengatasi kekurangan jumlah penduduk dengan strategi naturalisasi dan jurulatih terbaik antarabangsa. Tiada alasan buat kita lagi kerana Singapura berjaya mampu lakukannya.

Kesemua faktor ini jelas menunjukkan bahawa Malaysia masih ketinggalan dari segi kepimpinan sukan, pengurusan strategik, pembangunan akar umbi, dan ketahanan mental. Walaupun sering hampir berjaya, kegagalan mengubah peluang kepada emas menjadikan kita masih menunggu detik sejarah itu.

Malaysia perlu menerima hakikat ini dengan hati yang terbuka dan berlapang dada. Analisis yang jelas ini bukan untuk melemahkan semangat, tetapi untuk menunjukkan kelemahan utama yang wajib diperbaiki secara menyeluruh dan bersama.

Sekiranya Malaysia benar-benar ingin meraih emas Olimpik, kita perlu berubah dan mula merancang secara strategik bersama ahli bidang, melabur secara konsisten, membina tradisi sukan yang kukuh, memperkukuh aspek psikologi atlet serta menggunakan sains sukan dan teknologi sukan. Hanya dengan keberanian untuk
mengakui kelemahan, dan sikap terbuka terhadap perubahan, barulah Malaysia mampu menyaingi jiran serantau yang sudah berjaya membawa pulang emas Olimpik Dunia. Malaysia Boleh! Malaysia Negaraku yang Tercinta, bersatu kita teguh melangkah ke hadapan, menjulang maruah bangsa, membina kejayaan negara untuk generasi akan datang

Ts Dr Hadafi Fitri Bin Mohd Latip
Pensyarah Kanan Sains Sukan
Universiti Teknologi Malaysia

Advertisement

Topik Berkaitan

Must Watch Video