Atletico Madrid terpaksa mengharungi detik mendebarkan sebelum berjaya mengesahkan tempat ke final Copa del Rey biarpun tewas 0-3 kepada Barcelona dalam aksi separuh akhir kedua di Camp Nou, awal pagi tadi.
Kemenangan besar 4-0 pada perlawanan pertama bulan lalu menjadi ‘nyawa’ buat skuad kendalian Diego Simeone apabila mereka mara dengan agregat tipis 4-3, sekali gus kembali ke final buat kali pertama sejak 2013.
Advertisement
Ketika suasana di Camp Nou bergema dengan sorakan penyokong tuan rumah, pengurus Atletico, Diego Simeone, tetap tenang, malah penuh rasa hormat terhadap lawan.
Sejurus tamat perlawanan, Simeone kelihatan mengucapkan tahniah kepada pengendali Barcelona, Hansi Flick, atas persembahan luar biasa anak buahnya.
“Dia berkongsi pandangannya tentang beberapa situasi dalam perlawanan, dan saya katakan kepada beliau bahawa mereka bermain dengan cemerlang.
“Saya harap kami dapat bertemu lagi di Liga Juara-Juara supaya kami boleh bersaing pada tahap terbaik,” ujar Simeone.
Ketika Atletico sudah ketinggalan 0-3 dan hanya satu gol memisahkan Barcelona daripada menyamakan agregat, Simeone tetap yakin terhadap pasukannya.
“Hari ini, ketika kami ketinggalan 3-0, saya berkata, ‘Inilah Atleti'.”
Beliau turut mengakui intensiti tinggi yang dipamerkan Barcelona hampir meranapkan kelebihan pasukannya, sambil memuji beberapa pemain muda lawan yang bekerja keras sepanjang perlawanan.
“Pedri, Balde, Bernal… mereka memberikan usaha yang luar biasa. Sukar untuk mengekalkan intensiti seperti babak pertama. Kemasukan Giménez memberi kami kematangan, dan kematangan itu sangat penting dalam pasukan,” katanya.
Dalam pada itu, kisah dua gergasi Sepanyol ini masih mungkin belum lagi berakhir.
Kedua-duanya berpotensi bertemu semula di suku akhir pentas Liga Juara-Juara UEFA jika berjaya melepasi cabaran pusingan 16 terbaik.