GOLD COAST 2018
Hoki: Van Huizen terkilan gagal ke separuh akhir
Ketua jurulatih skuad hoki lelaki negara, Stephen Van Huizen, mengakui kedudukan di tangga ketiga selepas mengikat Pakistan 1-1 dalam aksi terakhir Kumpulan B hari ini bukanlah satu perkara yang mampu dibanggakan kerana tetap terkilan gagal membawa pasukan negara ke separuh akhir Sukan Komanwel.
Tidak terlalu cemerlang tetapi tidaklah terlalu buruk, hanya pencapaian sederhana mampu diberi The Malaysian Hockey Tigers selepas mengharungi empat perlawanan.
Keputusan seri 1-1 bertemu Pakistan sekadar menyaksikan skuad negara memungut empat mata secara keseluruhan bersama Pakistan tetapi bernasib baik perbezaan jaringan tidak diambil kira dalam Sukan Komanwel Gold Coast.
Iklan
Peraturan pertandingan dalam temasya ini melayakkan skuad negara ke penentuan tempat kelima dan keenam kerana berjaya memenangi satu perlawanan berbanding Pakistan yang seri keempat-empat perlawanan.
"Kami mengharapkan ada kejutan berlaku untuk kami layak ke separuh akhir tetapi kekalahan kepada India semalam menutup peluang kami, maka kami terpaksa mengekalkan ranking ketiga kumpulan," kata Van Huizen.
Kegagalan menang dengan kedua-dua kuasa besar Asia, India dan Pakistan di Gold Coast agak meresahkan Van Huizen jika Sukan Asia menjadi misi utama skuad negara.
"Prestasi Pakistan sangat dekat dengan kami. Adalah penting kami tidak bersikap santai.
"Justeru, kami mempunyai banyak tugas yang perlu dilaksanakan sebagai persiapan menghadapi Sukan Asia.
"Apatah lagi dalam saingan Sukan Asia, ia turut disertai Korea Selatan, Jepun dan China.
"Sukan Asia merupakan pertandingan besar. Jadi, adalah penting untuk kami terus mempamerkan peningkatan.
"Saya harap tonggak utama cergas dan bebas kecederaan, tidak seperti menjelang Sukan Komanwel ini," ujarnya lagi.
Penyerang negara, Ramadan Rosli, muncul penyelamat negara dalam perlawanan hari ini apabila jaringannya pada minit ke-39 mengikat Pakistan yang sebelum itu mendahului hasil gol Shafqat Rasool.
Must-Watch Video