GOLD COAST 2018
Hoki: Skuad lelaki negara dalam laluan sukar -- Van Huizen
Jurulatih skuad hoki lelaki negara, Stephen Van Huizen, mengakui peluang Malaysia untuk mara ke separuh akhir masih berliku walaupun anak buahnya mempamer kebangkitan menumpaskan Wales 3-0 dalam perlawanan kedua Kumpulan B, Sukan Komanwel Gold Coast, semalam.
"Memang dalam kejohanan ini kami mengharapkan untuk ke separuh akhir tetapi tewas 7-0 (kepada England) membuatkan kami sukar sedikit.
"Ia kerana perbezaan jaringan. Hari ini (semalam) dengan 3-0, diharapkan kami boleh mara. Lawan India nanti akan menentukan sama ada kami ada peluang atau tidak," katanya.
Iklan
Perbezaan jaringan kini tidak memihak skuad negara susulan dibolosi dengan jumlah jaringan besar 0-7 menentang England dalam aksi pembukaan, kelmarin.
Tiada pilihan, skuad negara yang gagal melepasi saingan peringkat kumpulan di Glasgow empat tahun lalu perlu menewaskan India, Selasa ini, jika mahu menebus kehampaan lalu.
"Kami akan mempersiapkan diri untuk menentang India. Kami sudah beberapa kali bermain dengan mereka.
"Mereka adalah pasukan terbaik di Asia, mereka pasukan yang baik dan berpengalaman.
"Sudah tentu ia perlawanan yang sukar dan kami harus fokus kepada kekuatan kami," kata Van Huizen lagi.
Terdahulu, kejayaan menundukkan Wales dibantu jaringan Fitri Saari pada minit ke-18, Joel Van Huizen (m-25) dan Faizal Saari (m-55).
Sementara itu, skuad wanita masih mencari kemenangan pertama dan cabaran seterusnya ialah menentang England esok.
Must-Watch Video