SUKAN ASIA 2018
Hoki: Malaysia tiada pilihan selain tundukkan Jepun
Ketua Pegawai Eksekutif Persekutuan Hoki Asia (AHF), Datuk Tayyab Ikram, mengesahkan hanya pemenang pingat emas acara hoki Sukan Asia 2018 akan layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 walaupun Jepun akan bertindak sebagai tuan rumah kerana ia ditetapkan sendiri oleh Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC).
Jepun dan Malaysia bakal melakukan perhitungan emas dalam final acara hoki lelaki esok selepas mengatasi Pakistan dan India dalam laluan masing-masing di separuh akhir.
Tatkala Jepun pasti beraksi di pentas Olimpik atas tiket tuan rumah, Malaysia sudah tentu mahu menterjemahkan aksi terbaik esok bagi menjamin slot automatik ke Tokyo pada 2020.
Iklan
Walaupun wujud persoalan sekiranya Jepun menang di Indonesia dan sama ada Malaysia akan mara ke Tokyo, Tayyab menegaskan hanya pemenang emas Sukan Asia akan mengisi slot automatik itu.
“Bagi saya, rasional yang wujud sangat jelas. Semua negara tidak mempunyai tahap yang sama. Sebagai contoh, saingan di Afrika. Jika Afrika Selatan yang sudah dikenali sebagai juara dalam beberapa tahun telah melayakkan diri sebagai tuan rumah dan pasukan di kedudukan kedua menampilkan tahap perbezaan besar dalam permainan, ia adalah pendekatan sama yang akan dilakukan.
“Kriteria ini mudah untuk difahami dalam kalangan kami. Di Asia, Jepun sudah sah beraksi sebagai tuan rumah dan kami rasa jika Malaysia hanya mendapatkan perak, kedua-dua pasukan berada pada tahap sebaris pesaing dalam saingan Olimpik,” kata Tayyab.
Situasi itu bermakna skuad kendalian Stephen Van Huizen itu harus memberikan persembahan terbaik untuk menghadirkan emas buat kali pertama di pentas Sukan Asia, sekali gus memberikan pengesahan untuk beraksi di Tokyo dua tahun lagi.
Must-Watch Video