Skip to main content

Sukan Asia

Hoki: Malaysia baiki pencapaian di sebalik prestasi suram

stephen-van-huizen_1.jpg
Skuad hoki lelaki negara naik dua anak tangga berbanding pencapaian empat tahun lali di Glasgow, begitupun prestasi anak buah Stephen Van Huizen itu nyata belum konsisten, terutama aksi buruk berdepan England dalam kempen Sukan Komanwel Gold Coast. 

Menamatkan kempen di tangga kelima daripada 10 negara tidak membuatkan Van Huizen mampu meleretkan senyuman sepenuhnya. 

Tambahan pula, hanya dua kemenangan dilakar, kedua-duanya ke atas lawan di ranking lebih rendah, iaitu Wales dan Scotland. 

Kegagalan mengatasi dua seteru utama Asia, India dan Pakistan, di peringkat kumpulan membuktikan masih banyak perlu dilakukan pengendali itu menjelang Sukan Asia 2018 di Indonesia, Ogos depan. 

Apa yang pasti, kekalahan besar 0-7 kepada England dalam aksi pertama tidak boleh dilupakan dan satu bedah siasat dituntut untuk mencari jawapan mengapa skuad negara sering tumbang dengan angka jaringan besar ketika berdepan negara di ranking ketujuh dunia itu. 

"Ada aksi yang kami tampil bagus dan sebaliknya berlaku. Kami bermula perlahan ketika menentang England tetapi setiap perlawanan kami meningkatkan prestasi. 

"Kami bermain dengan baik tetapi apa yang penting adalah keputusan.

"Kejohanan seterusnya adalah Sukan Asia dan apa yang penting, kami meningkatkan tahap kecergasan kerana kami tidak begitu bersedia memandangkan sejurus tamat Liga Hoki Malaysia (LHM) dua minggu kemudian, Piala Sultan Azlan Shah pun bermula. 

"Ini adalah masa untuk melalui latihan fizikal yang bagus," kata Van Huizen.

Aspek positifnya, peluang beberapa pemain muda untuk beraksi seperti yang dinikmati Amirul Aideed Arshad, Norsyafiq Sumantri dan Syed Syafiq Syed Cholan. 

Mereka mengambil peluang tersebut dengan mempamerkan peningkatan dalam setiap perlawanan ekoran ketiadaan beberapa pemain utama seperti Mohd Marhan Abdul Jalil, Izad Hakimi Jamaluddin dan Faiz Helmi Jali. 

Ia baik bagi hoki negara selain memberi banyak pilihan kepada Van Huizen dalam menentukan barisan terbaik. 

"Sememangnya mereka berasa sedikit gugup dalam kejohanan ini kerana ia adalah pentas besar pertama buat mereka.

"Mereka melakukan beberapa kesilapan tetapi aksi Sukan Komanwel memberi mereka pengalaman yang berharga dan boleh digunakan di masa hadapan.

"Mereka perlu terus belajar dan berlatih. Mereka mampu muncul sebagai pemain penting buat negara pada masa akan datang," katanya lagi. 
 

Advertisement

Must Watch Video