Skip to main content

Hoki

Hoki B-16: Terengganu enggan terlalu cepat berpuas hati

220317-kejohanan-hoki-bawah-16-b-16-kebangsaan.jpg
Biarpun berjaya melayakkan diri ke pusingan kedua bagi kategori lelaki dalam Kejohanan Hoki Bawah 16 (B-16) Kebangsaan, Terengganu tidak mahu mendabik dada apabila berada dalam momentum terbaik untuk mempertahankan kejuaraan.

Kemenangan 2-0 ke atas Pulau Pinang dalam aksi terakhir mereka di Stadium Hoki Kementerian Pendidikan Malaysia ternyata sudah memadai buat Terengganu yang kini dijangka muncul juara Kumpulan A berbekalkan tiga kemenangan.

Mereka sebelum ini, bagaimanapun, dipaksa berhempas-pulas oleh lawan dengan membenarkan permainan dikuasai sebahagian besarnya oleh Pulau Pinang. 

Mujur penyudah tajam ketua pasukan, Syarman Mat Tee, pada minit ke-40 dan Nukman Hakim Mohammad, empat minit berselang memastikan tiga mata menjadi milik Terengganu.

"Pada mulanya agak tidak terurus permainan pemain tetapi mereka berjaya bangkit. 

"Ada beberapa perkara yang perlu diperbaiki untuk kami menghadapi perlawanan-perlawanan seterusnya," kata pengurus Terengganu, Amir Syafiq Awang Soh. 

Bagi Pulau Pinang, kegagalan menyempurnakan peluang, terutama melalui pukulan penalti strok pada minit ke-17, menjejaskan peluang mereka untuk meraih kemenangan. 

Sehubungan itu, jurulatihnya, Muhammad Amirul Abdullah, mengingatkan pemain agar tidak mengulangi kesilapan serupa apabila berdepan Negeri Sembilan dalam saingan terakhir kumpulan andai mahu mara ke pusingan kedua. 

"Sikap terlalu yakin menyebabkan kami gagal menampilkan permainan seperti yang diharapkan.

"Kerana gagal bermain dengan baik, Terengganu berjaya mengambil peluang dan seterusnya memenangi perlawanan ini," ujar Amirul. 

Advertisement

Must Watch Video