Skip to main content

Sukan Lain

Hamberi Mahat tegaskan corak pimpinan KOM perlu berubah

hamber.jpg
Bekas atlet olahraga negara, Hamberi Mahat, mahu perubahan drastik dilakukan daripada kepimpinan tertinggi Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) bagi menyelamatkan kancah olahraga negara daripada terus dibelenggu penurunan prestasi di temasya utama.

Pada masa sama, bekas jurulatih 400 meter negara itu tidak berminat untuk membicarakan siapa yang lebih layak menerajui badan induk itu sebaliknya lebih memikirkan keupayaan calon tersebut untuk memulihkan prestasi keseluruhan skuad olahraga negara yang dilabel dalam keadaan merisaukan.

Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) badan induk itu, pada 12 Jun ini memperlihatkan pertandingan tiga penjuru bagi jawatan presiden, penyandang presiden, Datuk SM Muthu dicabar Datuk Seri Shahidan Kassim dan Nurhayati Karim pada pemilihan penggal 2022/2025.

"Sebagai bekas atlet kebangsaan, saya tidak melihat sebagai satu masalah siapa yang bakal bertanding dalam tampuk pimpinan KOM, perkara paling penting apa yang boleh mereka lakukan untuk meningkatkan sukan olahraga negara," kata Hamberi.

"Seperti yang berlaku ketika ini, terdapat banyak isu yang tidak sihat berlaku dan itu amat merisaukan. Individu baru yang mahu bertanding, perkara paling penting adalah pembangunan sukan olahraga Malaysia."

Hamberi turut menggesa siapa jua yang memimpin (KOM) selepas ini untuk memberikan penekanan khusus bagi memperkasakan skuad olahraga negara di temasya Sukan SEA Kemboja 2023.

Untuk rekod, skuad olahraga negara meraih lima pingat emas, tiga perak dan lapan gangsa di Sukan SEA Vietnam yang lalu -- persoalannya, adakah prestasi tersebut cukup buat lanskap sukan berpestasi tinggi negara?

"Sesiapa yang menjadi presiden baru, dia perlu berusaha mendapatkan 10 pingat emas dalam Sukan SEA akan datang, jika gagal, sila undur diri kerana tidak mencapai sasaran, pada pandangan saya, itu adalah satu perkembangan."

Advertisement

Must Watch Video