Skip to main content

Advertisement

Sukan Lain

Golf Terbuka Malaysia: Shubhankar tekad pertahan gelaran

ss.jpg
Juara bertahan, Shubhankar Sharma dari India, kembali dengan harapan untuk mengulangi kejayaannya dalam Kejohanan Maybank di Saujana Golf & Country Club, Subang bermula esok.  

“Saya mempunyai kenangan amat istimewa dari tahun lalu. Ia bagaikan baru semalam saya menang di sini. Saya menyempurnakan putt pada lubang ke-18 dan menunggu markah sementara yang lain menghabiskan permainan.  

"Saya rasa hebat untuk kembali, ia adalah kemenangan terbesar saya,” kata pemain berusia 22 tahun itu.

Dalam edisi tahun lalu, Shubhankar mengakhiri pertandingan itu dengan catatan cemerlang 10 bawah par 62 untuk menewaskan Jorge Campillo dari Sepanyol dengan dua pukulan dan muncul pemain Asia pertama dan anggota Jelajah Asia kedua selepas Marcus Fraser dari Australia menjulang piala itu, tiga tahun lalu.

Selain  berkongsi tempat kedua dalam sirkit di negaranya tahun ini, keputusan Shubhankar di luar negara juga tidak memberangsangkan jika dibandingkan dengan standard permainannya yang tinggi.

“Permulaan tahun ini tidak begitu bagus, sejujurnya. Saya sememangnya gemar bermula dengan baik tetapi saya sedang mengusahakan beberapa perkara dalam permainan saya.

“Golf adalah sebuah sukan yang perlukan ketepatan dan benda-benda kecil kecil pun perlu dilakukan dengan betul. Ada beberapa perkara yang tidak kena dengan saya tahun ini. Bagaimanapun, saya mempunyai banyak kenangan manis dari tempat ini dan semoga ia akan memberi permulaan yang baik sebagaimana pada tahun lalu,” katanya. 

Dalam edisi keempat Kejohanan Maybank ini, Shubhankar akan menyertai beberapa nama terkemuka dalam kejohanan bernilai ASD3 juta (kira-kira RM12.3 juta) itu, termasuk rakan senegara Arjun Atwal, Scott Hend (Australia), David  Lipsky (Amerika Syarikat), Thongchai Jaidee (Thailand) dan pemain ranking teratas Malaysia, Gavin Kyle Green. 

-- BERNAMA

Advertisement

Must Watch Video