SUKAN LAIN
Gold Coast: Misi Zaidatul atasi catatan peribadi
Ratu pecut negara, Zaidatul Husniah Zulkifli, menganggap slot ke-13 dalam skuad olahraga negara yang akan mengibarkan cabaran dalam Sukan Komanwel Gold Coast merupakan hadiah hari lahir terbaik buat jurulatihnya, M. Balamurugan.
Khabar gembira membabitkan slot panas Zaidatul ke temasya berkenaan dari 4 hingga 15 April nanti berikutan namanya hanya dalam senarai menunggu sebelum pengumuman rasmi Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dibuat hari ini.
"Mungkin ia menjadi hadiah untuk jurulatih juga kerana saya sendiri mengetahui perkhabaran ini pada lewat malam tadi. Saya tidak tahu pada awalnya," katanya.
Iklan
Zaidatul menganggap peluang dan kepercayaan yang diberikan banyak pihak seperti MOM, Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) dan Majlis Sukan Negara (MSN) menyemarakkan lagi penampilannya di Gold Coast nanti.
Dia mengharapkan catatan terbaik peribadi, 11.45 saat, yang dilakukannya di Afrika Selatan tahun lalu dipadamkan sebagai hadiah sagu hati untuk penampilan sulung dalam Sukan Komanwel.
"Kami pergi ke Gold Coast bukan untuk pertandingan biasa, ia adalah Sukan Komanwel. Jadi, persembahan yang lebih baik perlu ditampilkan.
"Sukan Komanwel juga menjadi proses persediaan saya untuk menghadapi Sukan Asia 2018," katanya lagi.
Must-Watch Video