SUKAN LAIN
Gold Coast 2018: Teknologi hubungkan Benjamin dengan jurulatih
Penembak double trap negara, Benjamin Khor, tiada masalah untuk menerima tunjuk ajar jurulatih dari Sweden hanya menerusi panggilan video atau aplikasi 'Skype' setiap hari demi memstikan aksi terbaik dalam penampilan ketiganya dalam Sukan Komanwel Gold Coast 2018.
Pemenang pingat perak Sukan Olimpik London 2012, Hakan Dahlby, merupakan jurulatih baru kepada Benjamin sejak awal bulan ini bagi membantu persiapannya menghadapi Sukan Komanwel.
Dia yang sebelum ini berada di bawah bimbingan bapanya yang juga bekas penembak double trap negara, Edward Khor, menganggap sudah tiba masa untuknya berdikari dan Skype menjadi elemen penting dalam menghubungkan Benjamin dan Dahlby ketika ini.
Iklan
Walaupun dipisahkan dengan jarak, tunjuk ajar daripada Dahlby dianggap berharga untuk pemenang pingat emas Sukan SEA 2017 itu mempertaruhkan aksi terbaik di Gold Coast, Australia, dari 4 hingga 15 April nanti.
"Saya bersyukur kerana dia memberi tunjuk ajar dan nasihat kepada saya dalam memperbaiki teknik menembak.
"Walaupun kami dibezakan dengan waktu, kami sentiasa berhubung," kata Benjamin.
Benjamin, yang mencuri tumpuan sewaktu Sukan Komanwel 2010 apabila meraih gangsa dalam acara berpasangan ketika bergandingan dengan bapanya, bersikap realistik tanpa menolak saingan lebih sukar bakal dihadapinya, namun akan cuba menghadirkan emas buat negara.
"Saya rasa saya perlu lebih realistik.
"Saya bertanding dalam arena bertaraf dunia dan sering memberitahu diri sendiri bahawa saya perlu beraksi di tahap yang diperlukan.
"Sejak enam bulan lalu, saya masih belum membuktikan kebolehan tetapi saya tahu apa yang perlu dilakukan," katanya lagi.
Must-Watch Video