Skip to main content

Sukan Lain

Gold Coast 2018: Nur Suryani akui persiapannya belum cukup

suryani1318.jpg
Tiada istilah latihan secara sederhana buat penembak negara, Nur Suryani Mohd Taibi, yang mahu bersedia sepenuhnya walaupun baru memulakan latihan sepenuh masa awal tahun ini bagi menghadapi Sukan Komanwel Gold Coast, 4-15 April nanti.

Tatkala penembak lain mungkin hanya membuat persediaan daripada segi mental memandangkan temasya itu semakin hampir, tidak buat Suryani yang masih menganggap persiapannya belum cukup untuk ke Gold Coast.

Sehubungan itu, dia mahu segera memperbaiki kekurangan daripada beberapa aspek menjelang penampilan keempatnya di pentas Komanwel itu.

Nur Suryani, bagaimanapun, optimis dia mampu membutirkan pingat di Gold Coast selepas meraih gangsa dalam tiga edisi Komanwel sejak 2006.

"Untuk kali ini, saya tidak boleh perlahankan (latihan) atau hanya buat persediaan mental. Untuk jangka masa pendek ini, saya terpaksa memberi penekanan kepada segala-galanya," kata penembak air rifle wanita negara itu.

Apa yang pasti, kepercayaan yang diperoleh daripada Persatuan Menembak Kebangsaan Malaysia (NSAM) tidak akan disia-siakannya bagi membuktikan sesuatu sambil mengetepikan isu peribadi di antara dia dan Institut Sukan Negara (ISN).

"Pada saya, ini semua cabaran, atlet suka cabaran. Saya menganggap ia boleh membakar semangat untuk lebih berjaya dalam Sukan Komanwel kali ini," katanya lagi. 

Nur Suryani sebelum ini mencetuskan kontroversi ekoran tindakannya bersama dua lagi penembak, Muslifah Zulkifli dan Nur Ayuni Farhana Abd Halim, mengheret ISN ke mahkamah selepas digugurkan daripada Program Podium.

Pencapaian terbaik Nur Suryani dalam Sukan Asia ialah memenangi pingat perak acara 50 meter rifle prone serta gangsa berpasukan acara sama di Incheon, Korea Selatan pada 2014.

Pada tahun sama, dia membawa pulang pingat gangsa acara 10m air rifle dari Sukan Komanwel di Glasgow, Scotland.

Advertisement

Must Watch Video