SUKAN LAIN
Gold Coast 2018: Kecederaan Izzah beransur pulih
Gimnas negara, Izzah Amzan, kini mampu menarik nafas lega apabila kecederaan lutut yang dialaminya beransur pulih, sekali gus sudah bersedia untuk membantu negara meraih emas acara berpasukan dalam Sukan Komanwel Gold Coast 2018.
Sebelum ini, atlet berusia 19 tahun itu tergugat dengan kedudukannya yang masih belum terjamin untuk beraksi di Gold Coast ekoran kecederaan lutut.
Bagaimanapun, ia makin menunjukkan tanda positif apabila terus diberi kepercayaan oleh jurulatih, Lidia Legotina, untuk membawa cabaran dalam Sukan Komanwel buat kali pertama.
Iklan
Izzah akan dibantu oleh dua lagi gimnas, Amy Kwan Dict Weng dan Koi Sie Yan dalam merealisasikan hasrat untuk meraih emas bagi acara berpasukan.
"Kami tidak boleh mengelak daripada kecederaan. Tetapi kami telah menjalani proses pemulihan dan segalanya berjalan dengan lancar," kata Izzah.
Amy, antara atlet senior dalam pasukan, percaya kemampuan mereka bertiga untuk melakukan yang terbaik bagi acara berpasukan selain menyasarkan untuk ke final untuk acara individu bagi empat rutin yang ditetapkan, iaitu bola, gelung, belantan dan reben.
"Buat saingan pasukan, kami meletakkan sasaran untuk meraih pingat emas. Pengalaman serta persiapan yang kami miliki diharap membantu kami," kata Amy.
Must-Watch Video