MENEMBAK
Gold Coast 2018: Johnathan harapkan pingat
Tiada alasan lagi untuk penembak negara, Johnathan Wong Guan Jie, tidak meraih pingat dalam Sukan Komanwel Gold Coast 2018 dengan dia menganggap penampilan keduanya ini seharusnya lebih baik berbanding empat tahun lalu di Glasgow.
Johnathan, yang menduduki tempat ketujuh ketika Sukan Komanwel Glasgow 2014 bagi acara 10m air pistol, menganggap peluang kedua untuk menggalas cabaran negara tidak seharusnya disia-siakan.
Tidak keterlaluan untuknya meletak sasaran peribadi bagi meraih sekurang-kurangnya pingat gangsa di Gold Coast, memperbaiki pencapaian di Glasgow kerana persiapan terbaik telah dilakukan dengan bantuan jurulatih dari Korea Selatan, Park Sang-soon.
Iklan
Johnathan berkata semuanya bergantung kepada kekuatan mental yang menjadi kunci utama kepada setiap penembak.
"Saya mahu beraksi lebih baik berbanding persembahan sebelum ini. Kali ini, saya mengharapkan pingat kerana ia (peluang) kedua.
"Saya fikir ada peluang dan saya berharap apabila tiba harinya nanti, saya dapat beraksi baik untuk mendapatkan pingat," katanya.
Tiada latihan di luar negara untuk sembilan penembak negara yang akan ke Gold Coast selain hanya menerima kunjungan daripada skuad menembak dari Korea Selatan yang berlatih bersama mereka di Malaysia.
"Suasana tidak sama sebab kedatangan mereka ini lebih kepada latihan bersama mereka. Tetapi apabila kami pergi ke sana, ia lebih kepada latihan bersendirian dan menjadi lebih fokus dalam latihan," kata Johnathan.
Must-Watch Video