Skip to main content

Sukan Lain

Gold Coast 2018: Hakimi tekad perbaiki rekod kebangsaan

hakimi-230817.jpeg
Atlet lompat kijang negara, Muhammad Hakimi Ismail, bertekad mencipta rekod baru kebangsaan dalam temasya sukan besar seperti Sukan Komanwel yang bakal berlangsung di Gold Coast, Australia bulan depan.

Hakimi yang merupakan pemegang rekod Sukan SEA dalam acara lompat kijang, berkata dia mahu mencipta kelainan dan memuaskan hatinya dengan memperbaharui rekod kebangsaan dalam kejohanan selain Sukan SEA. 

"Kesemua rekod kebangsaan saya dibuat dalamSukan SEA... tiga kali dalam Sukan SEA. Jadi, kali ini saya bersungguh-sungguh mahu cipta rekod dalam temasya sukan lain. Lagipun, Sukan Komanwel dan Sukan Asia kejohanan lebih tinggi statusnya berbanding Sukan SEA, jadi secara automatik ia dapat memuaskan hati saya.

"Untuk tingkatkan prestasi, bukan hanya di peringkat Asia Tenggara, saya perlu buat lompatan lebih jauh dan berada setanding di peringkat Sukan Komanwel pula," katanya dalam sidang media Program Podium di Institut Sukan Negara (ISN), hari ini.

Selain berhasrat memperbaharui catatan terbaik sejauh 16.77 meter yang juga rekod kebangsaan, atlet kelahiran Taiping, Perak itu juga mahu meraih pingat tanpa mengira warna dalam Sukan Komanwel 2018.

Muhammad Hakimi yang bakal membuat penampilan pertama dalam Sukan Komanwel kali ini, berkata perkara penting sebelum turun beraksi dalam temasya sukan berkenaan adalah dengan memastikan dia tidak mengalami sebarang kecederaan semasa latihan. 

Daripada segi persiapan, katanya, dia perlu memantapkan teknik lompatan bagi memastikan hasratnya itu tercapai. 

Muhammad Hakimi yang dijadual beraksi pada 12 April di Gold Coast, akan menghadapi cabaran sengit daripada atlet England, India, Bahamas, Afrika Selatan dan Nigeria.

"Kalau lihat kepada catatan, rekod saya dan pencabar lain tidak jauh berbeza. Contohnya kalau beza catatan lebih kurang 50 sentimeter, itu dikira tidak  jauh, masih berpeluang untuk atasi rekod tersebut,” katanya.

Sementara itu, jurulatih dari Rusia, Victor Sotnikov, yakin Muhammad Hakimi sudah bersedia untuk mempamerkan aksi terbaiknya dalam Sukan Komanwel bulan depan. 

"Prestasi Hakimi semakin baik, banyak peningkatan. Dia berada di tahap lebih kurang sama dengan pencabarnya yang lain dan dia sendiri sudah bersedia. 

"Jika ditanya mengenai peluang meraih pingat sama ada cerah atau tidak, saya tidak boleh jawab pada masa ini. Kena tunggu dan lihat, namun saya harap dia boleh membuat lompatan lebih jauh berbanding sekarang," katanya.

-- BERNAMA

Advertisement

Must Watch Video