Skip to main content

Sukan Lain

Gold Coast 2018: Cipta rekod kebangsaan sasaran skuad renang negara

21817welson4.jpeg
Kehadiran skuad renang negara dalam Sukan Komanwel mungkin bersifat misi mencipta rekod kebangsaan atau memperbaiki catatan peribadi walaupun sukan ini menawarkan 240 pingat.

Kehadiran kuasa besar dunia seperti Australia dan England pasti menjadi tembok penghalang terbesar buat lima perenang negara yang berjaya layak ke temasya Gold Coast itu.

Kali terakhir percikan pingat dari kolam renang ialah menerusi Alex Lim Keng Liat dalam Sukan Komanwel 2002 di Manchester.

Ia menerusi acara 50 meter dan 100 meter kuak lentang apabila Keng Liat berjaya merangkul perak dan gangsa.

Tiga temasya sudah berlalu, kehadiran skuad renang tiap kali di pentas Sukan Komanwel gagal mendapat tumpuan peminat sukan tanah air.

Kali ini di Gold Coast, seramai lima perenang diketuai Welson Sim bakal membawa cabaran negara, dengan Caroline Chan Zi Xin menjadi atlet tunggal wanita.

Welson menjadi atlet terbanyak mengambil bahagian dalam empat acara manakala Keith Lim dalam tiga acara, termasuk dalam dua kelas berbeza.

Biarpun ramai menjangka skrip sama bakal berulang di Gold Coast, Welson mungkin berpeluang mencipta kejutan, terutama dalam acara 200 meter gaya bebas.

"Saingan yang sengit dalam Sukan Komanwel. Program Podium meletakkan sasaran kepada kami untuk meraih pingat dalam saingan ini serta Sukan Asia," kata Welson.

"Sasaran ini akan membantu saya untuk terus memberikan yang terbaik."

Ketua jurulatih, Paul Birmingham, yang bakal membimbing perenang negara buat kali ketiga dalam Sukan Komanwel, mahu peminat sukan tanah air bersikap realistik.

Mengakui jurang perenang negara dengan atlet handalan dunia terlalu jauh, beliau mahu lima atlet negara nanti mampu memperbaiki catatan rekod peribadi masing-masing.

Malah, jika ada atlet negara mampu mara sehingga ke peringkat akhir, baginya ia sudah satu kejayaan buat kem renang.

"Saya berasakan mara ke final dalam acara 200m dan 400m gaya bebas adalah dalam pencapaian terbaiknya," kata Birmingham.

"Acara yang disertai Welson, dia akan berdepan juara dunia dan juara Olimpik."

Advertisement

Must Watch Video