Skip to main content

Sukan Lain

Gold Coast 2018: Afiq resah kemampuan belum teruji

afiq-ali-hanafiah.jpg
Pelari pecut 100 meter para T-12, Afiq Ali Hanafiah, khuatir apabila tiada kejohanan pendedahan sebelum Sukan Komanwel Gold Coast 2018 selepas namanya digugurkan daripada menyertai Kejohanan Olahraga All Comers Wilayah Persekutuan 2018 di Stadium Mini Majlis Sukan Negara (MSN), Ahad lalu. 

Sebaik mendapati namanya tidak tersenarai, Afiq menyuarakan kebimbangan kepada jurulatihnya, Adnan Mat Ali, berikutan Sukan Komanwel hanya berbaki dua minggu lagi. 

Mengakui kecewa dengan situasi tersebut, Afiq cuba mencari jalan agar dapat menyerlahkan prestasi sebenarnya dalam temasya Gold Coast 2018. 

"Tidaklah sampai tahap berdebar memandangkan persediaan saya tidak mencukupi. 

"Jadi, sukar untuk mengukur sejauh mana prestasi saya ketika ini," ujarnya. 

Oleh itu, dia berharap pesaing-pesaingnya mampu menghadirkan tekanan buatnya dalam usahanya berlumba di kemuncak prestasi. 

Kegagalan Afiq untuk menyertai Kejohanan Olahraga All Comers 2018 baru-baru ini berpunca daripada penyertaan yang terlalu ramai dan masa penganjuran yang terhad. 

Bagaimanapun, Adnan akan mencari jalan untuk menempatkan Afiq dalam Kejohanan Terbuka Perak, hujung minggu ini sebagai persediaan akhir sebelum ke Australia. 

"Mungkin dalam masa terdekat, saya akan menyertai Terbuka Perak sebagai persediaan terakhir menghadapi Sukan Komanwel," luahnya lagi. 

 

Advertisement

Must Watch Video