Skip to main content

Sukan Asia

Gimrama: Skuad negara cemerlang pada hari terakhir

gimrama-amy-kwan.jpg
"Ibarat lepas geram." Itu luahan gimnas negara, Amy Kwan, sebagai mengakhiri kemarau lapan tahun selepas meraih pingat emas apparatus reben Sukan Komanwel Gold Coast, sebentar tadi. 

Ia pencapaian terbaik Amy sejak penampilan sulungnya dalam temasya Glagsow empat tahun lalu apabila dia hanya meraih gangsa acara berpasukan. 

Amy menguasai apparatus reben dengan persembahan menakjubkan untuk mengumpul jumlah mata tertinggi 13.200 mata. 

Selepas agak kecewa dengan aksi apparatus gelung dan belantan, perasaan membuak-buak mengidamkan kemenangan dilepaskan dalam apparatus terakhir itu sebelum kejayaan berpihak kepadanya. 

"Sebenarnya, saya sangat marah kepada diri sendiri kerana segalanya tampak sempurna tetapi bahagian terakhir mengecewakan. 

"Bagaimanapun, saya tidak rasa ia menolak mata yang banyak kerana tidak menjatuhkan gelung tersebut. Cuma, saya rasa saya mampu melakukan lebih baik demi semua yang telah menyokong saya," kata Amy.

Susulan itu, Amy enggan melupakan temasya ini dengan kemungkinan akan terus berjuang empat tahun lagi selagi masih terdaya mengibarkan Jalur Gemilang. 

"Jurulatih berpesan saya hanya perlu melakukan yang terbaik dan menyerahkan segalanya kepada tuhan. 

"Dia tidak mahu saya berputus asa kerana jika saya berfikir begitu, segala harapan akan lenyap. Akan sentiasa ada peluang kedua," katanya lagi. 

Sementara itu, Koi Sie Yan, turut cemerlang apabila meraih paling banyak pingat dengan dua perak (bola dan belantan) dan dua gangsa (reben dan berpasukan) dalam penampilan sulungnya di pentas Sukan Komanwel. 

Walaupun gagal meraih emas, Sie Yan tetap puas selepas kecewa dengan aksi hambarnya dalam acara all around individu semalam untuk berada di tempat kelapan sebelum menebusnya dengan kejayaan tiga pingat pada hari terakhir saingan. 

"Jurulatih saya hanya mahu saya melakukannya seperti satu tarian untuk melupakan rasa gugup.

"Tidak perlu fikirkan bagaimana anda akan menjatuhkan apparatus dan sebagainya," ujar Sie Yan.

Izzah Amzan pula kecewa dengan prestasi dalam dua acara individu selepas menduduki tempat keenam bagi aparatus gelung dan bola. 

Kesedihan jelas terpancar di raut wajahnya sehingga menyebabkan dia kehilangan kata-kata untuk diluahkan. 

Advertisement

Must Watch Video