Skip to main content

Sukan Asia

Gimrama: Rutin baru senjata Amy buru pingat di Indonesia

amy-kwan-malaysia-gymnastics.jpg

Gimnas kebangsaan, Amy Kwan Dict Weng, mengharapkan rutin baru yang bakal ditampilkan dalam Sukan Asia 2018 di Indonesia, bulan depan mampu menghadirkan kilauan pingat untuk kontinjen negara.

Pemenang pingat emas Sukan Komanwel 2018 itu yang bakal membuat penampilan sulung dalam Sukan Asia, berkata darjah kesukaran rutin berkenaan adalah lebih rumit berbanding beberapa rutin lain dan bakal dipersembahkan di Indonesia.

Advertisement

“Kami telah mencuba rutin baharu sejak beberapa bulan lepas. Bukan semua rutin adalah baru, cuma kami suntik beberapa elemen baru dalam rutin berkenaan, sekali gus menjadikan ia lebih lebih rumit berbanding rutin biasa,” katanya kepada Bernama, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Amy, 23, menyasarkan dia dan rakan sepasukan mampu melangkah sekurang-kurangnya ke peringkat akhir walaupun sedar bakal menerima saingan sengit daripada beberapa kuasa dunia seperti Jepun, Korea Selatan dan juara bertahan Sukan Asia, China. 

Dia mengakui kejayaan meraih pingat gangsa dalam Kejohanan Gimnastik Berirama Asia di Axiata Arena, April lalu, memberi motivasi terbaik kepadanya memburu warna pingat lebih baik dalam Sukan Asia nanti.

Nada berbeza disuarakan rakan sepasukan Amy, Tammy Ng Jia Wen, yang tidak meletakkan sasaran khusus dalam penampilan sulung Sukan Asia.

“Saya rasa agak gementar dan gemuruh tapi gembira diberi peluang bersama rakan sepasukan yang lebih senior dalam Sukan Asia.

“Saya berharap pengalaman menyertai beberapa kejohanan dalam dan luar negara sebelum ini dapat membantu saya memberi persembahan terbaik dalam Sukan Asia walaupun saya tahu saingan amat sengit,” jelas atlet berusia 16 tahun itu yang meraih tiga emas dalam Sukan Malaysia 2016.

-- BERNAMA

Must Watch Video