Skip to main content

Sukan Lain

Gelaran Olahragawan, Olahragawati Selangor 2018 pacu semangat Farhan, Amy

amy-kwan.jpg
Atlet gimrama negara, Amy Kwan, dinobatkan sebagai Olahragawati dalam Majlis Anugerah Sukan Negeri Selangor 2018 di Shah Alam dan ia menjadi motivasi kepadanya untuk merakamkan prestasi yang lebih membanggakan selepas ini.

Amy merampas gelaran Olahragawati edisi 2017 daripada atlet boling tenpin negara, Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman, dengan pencapaian terbesarnya meraih satu pingat emas, satu perak dan dua gangsa di pentas Sukan Komanwel Gold Coast 2018. 

Ini adalah julung kalinya Amy dinobatkan sebagai Olahragawati.

"Sudah tentu kemenangan ini akan melonjakkan semangat saya. 

"Kalau saya dapat menjelmakan persembahan lebih baik, ia akan menjadi bukti bahawa saya telah berikan aksi terbaik dan akan melakukan yang lebih baik lagi pada masa akan datang buat negeri Selangor dan negara," katanya. 

Dalam pada itu, anugerah Olahragawan pula diraih pemain sepak takraw, Farhan Adam, dengan mengetepikan tiga lagi atlet daripada sukan silat, boling tenpin dan boling padang. 

Secara keseluruhan, seramai 16 atlet yang telah mengharumkan nama Selangor di peringkat kebangsaan dan antarabangsa tercalon dalam Majlis Anugerah Sukan Negeri Selangor, hari ini. 

"Kemenangan ini menyuntik semangat saya untuk lebih berjaya pada masa akan datang dan berusaha lebih gigih lagi," kata Farhan.

Anugerah Olahragawan dan Olahragawati Harapan pula disandang oleh atlet olahraga, Ilham Suhaimi, dan atlet renang, Nessa Yip Yi Wen. 

Keputusan lain:

Pasukan Terbaik 
Pasukan hoki Sukan Malaysia (Sukma) 2018 

Jurulatih Terbaik 
Naharudin Mahayudin (angkat berat) 

Tokoh Kepimpinan Sukan 
Norazizah Mukijan (hoki) 

Anugerah Juri 
Hafizh Syahrin Abdullah (MotoGP) 
 

Advertisement

Must Watch Video