Skip to main content

Sukan Lain

Futsal AFC: Skuad wanita sasar ke final

futsalwanita6318.jpg
Jurulatih skuad futsal wanita kebangsaan, Addie Azwan Zainal Abidin, menyasarkan kemaraan ke final buat barisan negara dalam Kejohanan Futsal Wanita Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) di Bangkok, Mei depan.

Menurut Addie, kemaraan ke pentas final adalah sasaran wajar buat barisan negara memandangkan pada edisi pertama di Nilai pada 2015, Malaysia meraih tempat keempat.

Bekas penyerang futsal negara itu juga mahu pemain negara melupakan kegagalan meraih pingat dalam Sukan SEA Kuala Lumpur, tahun lalu dan fokus untuk Kejohanan AFC.

Malaysia diundi bersama Vietnam, Taiwan dan Bangladesh dalam Kumpulan B.

"Saya telah melihat undian dan berkemungkinan kami akan berdepan dengan Iran atau Uzbekistan dalam separuh akhir sekiranya layak.

"Untuk peringkat kumpulan, kami menyasarkan untuk melepasinya terlebih dahulu.

"Kami berharap dapat melupakan kekalahan sebelum ini untuk fokus kepada saingan kali ini," katanya.

Dalam pada itu, Addie, yang pernah menjadi penolong jurulatih skuad futsal lelaki negara pada 2016, sedar dia kini berdepan cabaran berbeza dengan skuad wanita.

Skuad wanita negara akan mula menjalani latihan pusat di Wisma FAM, Khamis ini.

"Ia melibatkan lelaki dan wanita, jadi corak permainan serta mentaliti perlu diubah. 

"Kami bukan mahu mengubah secara drastik tetapi jika dilihat kepada pasukan Iran, mentaliti yang diterapkan membuatkan mereka lebih bagus," kata Addie lagi.

Advertisement

Must Watch Video