Selepas tamat saingan pusingan keempat FIM MiniGP Malaysia Series 2024 di Sirkit Horizon, Beranang, pengurus kejohanan itu, Zulfahmi Khairuddin meluahkan perasaan gembira dan berterima kasih kepada semua yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan kejohanan berkenaan.

Dalam satu temu bual bersama wartawan Astro Arena, Zaki Zainal, dia berkata: "Saya ingin berterima kasih kepada semua kru Horizon yang menyediakan litar ini, siang dan malam.

"Saya juga ingin berterima kasih kepada penyelia litar yang bertungkus-lumus memberikan nasihat kepada kami agar dapat menjalankan perlumbaan ini dengan selamat.

"Saya lihat apabila kami mengadakan perlumbaan di Lembah Klang, ramai peminat yang hadir.

"Pada awalnya kalendar perlumbaan ini di UniMAP (Universiti Malaysia Perlis) tetapi kami mengubahnya ke Beranang dan saya nampak ramai penyokong, ibu bapa dan ahli keluarga yang datang, jadi ini yang membuatkan kami semua gembira," katanya.