SUKAN LAIN
Ezuan kembali jalani latihan
Atlet menembak negara, Mohd Ezuan Nasir Khan, kembali menjalani latihan hari ini selepas mengalami kecederaan jari kelengkeng kanannya minggu lalu.
Ezuan ketika ditemui selepas sesi latihan menyifatkan kecederaannya kini beransur pulih dan tidak menyukarkannya ketika melakukan tembakan.
Atlet kelahiran Kuala Lumpur ini juga menegaskan kecederaan itu tidak akan menjejaskan tumpuannya untuk menghadapi Sukan Komanwel Gold Coast, bulan depan.
Iklan
Ezuan kini masih meneruskan program pemulihan dengan pegawai perubatan Institut Sukan Negara (ISN) hingga berlepas ke Gold Coast, Ahad ini.
"Selepas melakukan program pemulihan dan usaha dengan cara lain, saya berpeluang untuk menguji tahap kecederaan ini.
"Alhamdulillah keputusan yang dicapai memuaskan dan semuanya dalam keadaan baik," kata Ezuan.
Sementara itu, jurulatih menembak negara, Mohd Sabki Mohd Din, optimis Ezuan berupaya memberikan aksi terbaik dalam Sukan Komanwel kali ini.
Sabki turut percaya selaku atlet menembak senior negara, Ezuan berjaya menangani kecederaannya dengan baik.
"Kecederaannya membabitkan jari kelengkeng, jadi ia tidak akan menjejaskan tugasan di Gold Coast nanti.
"Selepas melihat latihan pertamanya sejak kecederaan itu pada hari ini, ia tidak menjejaskan konsistensi tembakannya," kata Sabki.
Must-Watch Video