Juara kategori WIRA KBS 2017, Muhammad Aiman Tahiruddin, tidak gentar untuk berdepan cabaran pelumba senior meskipun terus melangkah ke kategori CP150 bagi Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS musim 2018 yang akan membuka tirai di Litar Tangkak pada Sabtu dan Ahad ini.
Pelumba berusia 17 tahun itu diberi sepenuh kepercayaan oleh pasukan barunya musim ini, PETRONAS Sprinta Yamaha-CKJ, untuk beraksi dalam kelas perdana bergandingan dengan naib juara keseluruhan CP150 2017, Ahmad Afif Amran, dan seorang lagi pendatang baru pasukan, Md Hafiz Azman.
“Saya gembira dan sangat teruja kerana dapat beraksi dalam kelas CP150 pada musim ini,” jelas Muhammad Aiman yang meraih enam podium, termasuk tiga kemenangan, pada musim lalu.
“Sesi pertama sangat penting kepada saya. Saya berharap dapat menyesuaikan diri dengan cepat dan memahami rentak pelumba-pelumba senior. Mujurlah banyak latihan dan persediaan dilakukan sepanjang tempoh rehat lepas bagi membantu saya untuk lebih memahami jentera.”
Perkara serupa turut diakui oleh seorang lagi pendatang baru yang beralih dari kelas Wira ke kelas CP150, Md Aiman Azman.
Pelumba berusia 18 tahun itu akan bergandingan dengan dua lagi pelumba rookie CP150, Azroy Hakeem Anuar dan Harith Farhan Baharin, di dalam pasukan Idemitsu Honda Givi Yuzy Racing.
“Saya dan pasukan mempunyai cabaran sangat besar tahun ini. Ketiadaan Mohd Zaqhwan Zaidi menyaksikan pasukan kami merupakan barisan termuda di litar.
"Azroy dan Harith pernah beraksi dalam kelas CP115 namakala saya terus melangkah ke kelas CP150 dari kelas Wira. Pengalaman menjadi kekurangan kami, namun saya percaya seluruh pasukan akan bekerja keras untuk membantu kami,” jelasnya.