Skip to main content

Advertisement

Permotoran

Cub Prix: Syarifuddin tak gentar pelumba senior

md-syarifuddin-azman.jpg
Walaupun bakal berdepan pelumba senior yang lebih berpengalaman, Md Syarifuddin Azman sudah bersedia untuk memberikan cabaran dalam kategori CP115 menjelang pusingan pembukaan Kejuaraan Cub Prix Malaysia PETRONAS di Jasin, Melaka, hujung minggu ini. 

Juara Wira 2018 itu beralih ke kategori CP115 musim ini dan bertindak selaku pelumba tunggal bersama pasukannya, Idemitsu Kozi DFZ Yam Honda Racing, dalam kategori tersebut.

Bagi pelumba kelahiran Selangor itu, dia tidak akan terlalu merendah diri selaku pelumba rookie dan akan tampil memberikan saingan terbaik, terutama ketika berhadapan pelumba senior.

“Saya akan berusaha dengan sedaya-upaya untuk memberikan yang terbaik dalam penampilan pertama saya dalam kategori ini.

“Selain faktor kekurangan pengalaman, saya akan cuba untuk membentuk persefahaman yang baik bersama jurutera pasukan supaya segera serasi dengan jentera dan juga keadaan litar,” jelasnya.

Tambahnya, status selaku pelumba tunggal pasukan dalam kelas CP115 itu bukan satu masalah memandangkan pasukannya juga membuat persiapan rapi untuk menghadapi perlumbaan musim 2019.

“Selepas memenangi gelaran Wira tahun lepas, memang saya sudah mempersiapkan diri untuk beraksi dalam kelas CP115 dan serba-sedikit saya mendapatkan maklumat daripada pelumba lain dan juga pasukan, terutama daripada segi perbezaan jentera.

“Cuma saya tidak meletakkan sasaran tinggi dalam penampilan pertama ini, cukup sekadar layak ke sesi kelayakan Shootout dan menamatkan saingan dalam kalangan 10 pelumba terbaik," tambahnya.

 

 

Advertisement

Must Watch Video