Pemilik pasukan Brothers 7 Tech Racing, Narizman Madin, membuktikan bagaimana dirinya bertukar sepenuhnya daripada seorang pekera am sehingga mampu bergelar kontraktor dan pemilik kepada sebuah pasukan di Cub Prix.

Dia beranggapan bahawa kehidupan masa lalu menjadi pengajaran sekali gus kunci kepadanya untuk memacu pasukannya ketika ini agar sentiasa berada dalam keadaan yang terbaik.

Narizman juga menjelaskan bahawa sebagai ketua pasukan dia perlu bersiap sedia dengan segala rintangan yang mendatang serta menggalas tanggungjawab penuh dengan baik.



"Dalam sukan permotoran ini saya berminat sejak usia belasan tahun lagi, saya kerap saksikan di televisyen dan saya juga berminat untuk berlumba di Litar Batu 3 Shah Alam tetapi ketika itu saya tidak berkemampuan.

"Saya bawa tanggungjawab sejak saya berkerja di bawah hingga jadi kontraktor, begitu juga dengan pasukan. Jika ada penarikan diri daripada pengurus, koordinator, mekanik mahupun ahli pasukan, tanggungjawab itu saya harus pikul dan teruskan perjuangan ini.

"Bagi saya, jujur ikhlas amanah itu penting, jika ada kita berjaya. Sebagai ketua pasukan saya perlu kuat dan sentiasa bersiap sedia dengan masalah mahupun rintangan. Kita perlu bersungguh-sungguh." Katanya kepada Nadi Arena.